Isu hanya 13 orang pembangkang bangun panas di media sosial
SHAH ALAM - Laman media sosial terutamanya Twitter kini panas dengan isu kegagalan blok pembangkang dalam meminta undi belah bagi di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Undi belah bagi itu ditewaskan oleh pembangkang sendiri apabila mereka yang berdiri memohon undi sedemikian tidak mencukupi 15 orang seperti disyaratkan.
Terdahulu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar cuba meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk melaksanakan proses pengundian menerusi kaedah undi belah bahagi.
Bagaimanapun, cadangan Mahfuz gagal apabila hanya 13 ahli Parlimen daripada pembangkang yang menyokong cadangan undi belah bahagi daripada jumlah sepatutnya diperlukan 15 ahli Parlimen.
"Pung pang pung pang last-last diam. Dah lah kita kat bawah ini bermatian meyakinkan orang ramai kenapa bajet ni tak patut lulus. Serius dah malas sembang politik. Baik main dengan kucing," kata Setiausaha Publisiti bagi Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim menerusi Twitternya.
Pereka grafik terkenal, Fahmi Reza pula menukarkan logo Pakatan Harapan kepada Tak Boleh Harap di Twitternya.
Difahamkan antara ahli Parlimen pembangkang yang bangun dalam undi belah bagi itu termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang). Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang), Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang), Datuk Shahruddin Md Salleh (Pejuang), Mahfuz (Amanah) dan Datuk Hatta Ramli (Amanah).
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ketereh merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kegagalan blok pembangkang sebentar tadi berpunca daripada kalangan pembangkang itu sendiri.
“Alhamdulillah bajet (Belanjawan 2021) membela rakyat lulus dengan lebihan suara pada bacaan kedua sebentar tadi.
"Percubaan pembangkang meminta undi belah bahagi ditewaskan oleh pembangkang sendiri apabila mereka yang berdiri memohon undi sedemikian tidak mencukupi 15 orang seperti disyaratkan. Tahniah semua MP (ahli Parlimen),” kata Annuar di Twitternya.
Just In : #Budget2021 passed via voice vote . Less than 15 MP stood up, speaker declared no division vote necessary . https://t.co/T3kuiTittfpic.twitter.com/lgVtkJaike
— Melissa Goh (@MelGohCNA) November 26, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!