Mak cik maskot sanggup berpanas demi 50 kucing peliharaan

Idea untuk memakai maskot Hello Kitty muncul selepas memelihara 50 kucing jalanan di rumahnya.
Idea untuk memakai maskot Hello Kitty muncul selepas memelihara 50 kucing jalanan di rumahnya.
A
A
A

KUANTAN - Kelibat beberapa maskot seperti Hello Kitty, Doraemon, Snow White dan beruang sering kali dilihat berjalan-jalan di Pantai Teluk Cempedak, di sini.

Sesekali berhenti berjalan. berdiri sambil melambai-lambaikan tangan, bersalaman dan bergambar bersama pengunjung kanak-kanak atau dewasa yang teruja melihat kecomelan maskot.

Namun di sebalik pakaian comel yang memikat hati para pengunjung pantai itu, terselindung seraut wajah tua yang mencari rezeki untuk kelangsungan hidupnya.

Maka fahamlah Sinar Harian mengapa kerap kali maskot tersebut dilihat duduk sambil memandang tanah seperti menghela nafas dan melepas lelah.

Pernah juga mereka dilihat seperti sedang tidur kepenatan dalam keadaan duduk apabila bahagian kepala maskot menunduk dan hampir terjatuh ke tanah.

Acik Siti sudah tiga tahun mencari rezeki di Pantai Teluk Cempedak.
Acik Siti sudah tiga tahun mencari rezeki di Pantai Teluk Cempedak.

Kesemua maskot yang ditemui sebenarnya adalah milik Siti Endon Ismail, 56, yang lebih mesra disapa sebagai Acik Siti.

Acik Siti berkata, ada empat maskot digunakan ketika bekerja di pantai tersebut namun yang sering dipakai adalah Hello Kitty.

Artikel Berkaitan:

“Hello Kitty ada dua baju. Satu kuning dan satu warna merah jambu. Saya suka kedua-duanya. Kalau saya pakai maskot Hello Kitty pada hujung minggu pendapatan banyak sikit sebab budak-budak sukakan Hello Kitty.

“Kalau saya tak larat, saya sewakan maskot kepada orang lain untuk bekerja asalkan ada pendapatan,” katanya yang sudah tiga tahun mencari rezeki di situ.

Idea dari kucing peliharaan

Menurutnya, idea untuk memakai maskot watak kartun kegilaan kanak-kanak itu muncul selepas memelihara 50 kucing jalanan di rumahnya.

“Kesemuanya memerlukan perbelanjaan makanan kira-kira RM10 sehari. Dulu saya berniaga ubat-ubatan seperti minyak angin sakit sendi. Saya berniaga sorong troli sambil bawa kucing-kucing saya. Saya memang sukakan kucing. Tapi pendapatan jual ubat tidak cukup.

Kisah Acik Siti yang menolak troli barangan jualan ditemani empat ekor kucing pernah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian dua tahun lalu.
Kisah Acik Siti yang menolak troli barangan jualan ditemani empat ekor kucing pernah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian dua tahun lalu.

“Saya diberitahu tak boleh buat macam tu sebab takut membahayakan kucing. Lagipun saya datang sini naik kenderaan awam seperti bas dan teksi. Selepas itu saya tak bawa kucing dah,” katanya.

Acik Siti berkata, idea juga diperoleh selepas melihat orang lain yang lebih awal mencari rezeki di situ lalu mengeluarkan modal kira-kira RM1,600 untuk kesemua maskotnya termasuk permohonan lesen.

Menurutnya, modal digunakan adalah hasil wang simpanan daripada bantuan zakat RM300 sebulan dan berniaga ubat-ubatan.

Semakin popular

Menyedari diri sudah semakin popular disebabkan tular kisahnya di Facebook, ibu kepada empat anak itu bersyukur kerana rezekinya juga semakin bertambah.

“Saya masih mempunyai kudrat yang boleh dikerah, jadi saya guna kudrat ini untuk mencari pendapatan. Saya tidak mahu susahkan anak-anak.

“Terus terang saya tidak malu memakai maskot ini demi kucing-kucing kesayangan saya. Jemputlah datang ke rumah tengok kucing saya yang banyak,” katanya.

Pada Ogos 2016, kisah Acik Siti pernah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian yang menolak troli barangan jualan ditemani empat ekor kucing.

Dia yang turut menjual patung permainan ‘Tom Cat’ di Pantai terbabit, tular di laman Facebook Warga Kuantan.

Pendapatan tidak tetap

Acik Siti tular sekali lagi apabila dia yang memakai maskot kartun Doraemon duduk di atas batu sambil menundukkan kepala sehingga menimbulkan simpati orang ramai.

Wanita yang berasal dari Kemaman, Kuala Terengganu itu berkata, dia tidak kisah untuk mengetepikan keselesaan dan berpanas dalam maskot kerana hatinya lebih senang dapat menghiburkan kanak-kanak yang mendekatinya.

Bahkan apa yang dilakukan adalah demi kelangsungan hidup semua kucing-kucing kesayangannya yang dikutip di jalanan dan ada yang datang sendiri ke rumahnya.

Apa yang dilakukan Acik Siti adalah demi kelangsungan hidup semua kucing-kucing kesayangannya yang dikutip di jalanan selain yang datang sendiri ke rumahnya.
Apa yang dilakukan Acik Siti adalah demi kelangsungan hidup semua kucing-kucing kesayangannya yang dikutip di jalanan selain yang datang sendiri ke rumahnya.

“Saya tidak tetapkan bayaran tertentu sekiranya orang mahu bergambar sebaliknya terpulang kepada mereka untuk menyumbang seikhlas hati. Tapi, selepas tular Alhamdulillah ramai yang semakin berminat untuk bergambar.

“Pendapatan dulu kira-kira RM30 sehari itu pun pada hujung minggu. Cuma hajat di hati kalau ada rezeki lebih saya nak beli motosikal atau kereta untuk memudahkan pergerakan,” katanya.

Menurutnya, gambar Doraemon yang tular tersebut diambil oleh individu pada suatu petang ketika dia sedang berehat di atas batu kerana tidak ramai pengunjung berada di pantai berkenaan.

“Apabila orang tak ramai, saya akan susah hati sebab hasil akan merosot. Kalau pendapatan sikit saya cuma beli ikan murah gaul dengan nasi untuk kucing-kucing saya. Tapi kalau pendapatan banyak bolehlah saya beli ayam dan goreng serta gaulkan bersama nasi untuk mereka.

“Saya tak sangka gambar tu tular. Hairan juga kerana ramai orang yang datang bertanya adakah makcik yang memakai maskot Doraemon itu, malah ada yang memberi sumbangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!