Dua peluru dalam badan Norihan berjaya dikeluarkan

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

GEORGE TOWN - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari, 39, selamat menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga butir peluru dalam badannya akibat ditembak semasa bertugas di Pos Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup pada awal pagi Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, anggota itu masih belum sedar namun dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

"Norihan menjalani pembedahan bermula jam 1.30 tengah hari dan selesai sepenuhnya pada kira-kira 5.45 petang oleh pasukan perubatan termasuk pakar di HPP.

"Dua butir peluru pada bahagian perut berhampiran tulang belakang berjaya dikeluarkan manakala sebutir peluru berada berdekatan paru-paru belum dikeluarkan lagi... kami masih tunggu maklumat lanjut daripada doktor berhubung perkara itu sama ada perlu pembedahan susulan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata ketika ini, pasukan perubatan termasuk doktor pakar memantau keadaan kesihatan Norihan yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

ARTIKEL BERKAITAN: Norihan tiba di HPP untuk jalani pembedahan

Semalam, Norihan dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis ke HPP untuk menjalani pembedahan dan menerima rawatan lanjut bagi mengeluarkan tiga butir peluru.

Beliau dibawa dari HTF pada jam 7.40 malam dengan ambulans yang diiringi kereta peronda polis dan tiba di HPP pada kira-kira jam 9.20 malam.

Dua ahli keluarga mangsa termasuk isterinya turut mengiringi Norihan ke HPP.

ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Kes tembak di sempadan: Seorang lagi anggota PGA cedera

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam insiden pada kira-kira jam 2.30 pagi Selasa itu, anggota PGA mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang dinaikkan pangkat kepada sarjan, terbunuh manakala rakannya Norihan cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Baharuddin dan Norihan, dari unit Senoi Praaq PGA Polis Diraja Malaysia dan terlibat dalam pengumpulan maklumat, telah terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup, menyebabkan berlakunya kejadian berbalas tembakan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!