Sebuah keluarga hilang tempat berteduh
TANJONG KARANG - Sebuah keluarga hilang tempat berteduh setelah kediaman mereka hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Jati Sungai Tengi Kanan, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang, Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.34 pagi dan seramai 13 anggota dikerahkan ke lokasi terlibat bagi melaksanakan tugas-tugas menyelamat.
Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran terbabit melibat rumah kediaman kelas C dengan anggaran keluasan 80x60 kaki persegi.
"Rumah berkenaan 80 peratus terbakar, bagaimanapun tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu," katanya.
Mengulas lanjut, Azmi berkata pihaknya menggunakan kaedah receo dengan satu aliran hos sepanjang 300 kaki bagi memadamkan api kebakaran tersebut.
Selepas api berjaya dipadamkan, Azmi berkata pihaknya juga turut melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi sebarang punca api di lokasi terlibat.
"Kita juga turut mendapat bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor yang bersama-sama membantu memadamkan kebakaran ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!