Tiga pelajar cedera jatuh jambatan ketika dapatkan internet
RANAU - Tiga pelajar cedera selepas terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi di sini Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, ketiga-tiga pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut itu dikatakan bersama lima lagi remaja lain lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Difahamkan, dua pelajar patah bahagian paha dan betis, manakala seorang lagi mengalami kecederaan tulang belakang selepas terjatuh dari jambatan gantung setinggi 18 meter dari paras sungai.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang mengesahkan kejadian berkenaan memaklumkan seorang pelajar patah kaki dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.
"Ada beberapa pelajar terjatuh dari jambatan gantung yang telah dibina sejak 10 tahun lalu.
"Pelajar ini menggunakan jambatan itu sebagai stesen untuk mencari talian internet dan lapan pelajar berkumpul di satu kawasan. Ini mungkin salah satu punca kenapa jambatan putus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mengambil maklum dengan kejadian itu, Joachim berkata, pihaknya akan membuat lawatan di kampung itu pada minggu hadapan dan memantau keadaan jambatan terbabit.
"Minggu depan saya akan ke kampung itu dan jambatan baru akan dibina untuk penduduk.
"Saya berharap akan mendapat peruntukan dari kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri. Saya arahkan pegawai saya untuk mendapatkan peruntukan pembinaan jambatan gantung," katanya.
Katanya, pengangkutan yang ada ketika ini untuk penduduk kampung hanya sampan kecil atau bot.
"Saya berharap penduduk tabah dan saya simpati serta semoga pelajar yang cedera akan cepat sembuh," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, polis akan mengadakan lawatan ke lokasi bagi mendapatkan laporan penuh kejadian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!