'Hampir dua hari tak makan'
KEPALA BATAS - Syukur, alhamdulillah, itu antara ungkapan daripada mulut salah seorang nelayan yang terselamat setelah hilang hampir dua hari di perairan berhampiran sempadan Pulau Pinang dan Kedah di sini.
Tiada apa yang mampu diluahkan selain bersyukur kerana dapat bertemu kembali dengan keluarga tercinta.
Yashir Abd Hamid, 50, berkata, kejadian berkenaan bermula apabila enjin pada botnya mengalami kerosakan.
"Saya bersama seorang awak-awak berada hampir dua hari di lautan sebelum kami ditemui oleh nelayan berhampiran.
"Apa pun saya ucapkan syukur, kerana kami berdua telah berjaya ditemui, namun rasa lapar tu ada la sedikit sebab hampir dua hari tak makan," katanya.
Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, kejadian yang dialaminya itu bukan pertama kali.
"Sebelum ni pernah juga jadi macam ni, tapi lama dulu dah, apa pun jangan cepat panik, itu antara yang saya pegang.
"Dan paling penting, saya dan rakan sentiasa berdoa kepada ALLAH, agar kami selamat ditemui, alhamdulillah, doa kami dimakbulkan," katanya.
Kedua nelayan ini berjaya ditemui kira-kira 40 batu nautika daripada Jeti Nelayan Kuala Muda, Penaga setelah dipercayai hilang sejak kelmarin.
Kedua-dua lelaki tempatan itu menaiki sebuah bot fiber nelayan tempatan kelas A didapati tidak pulang selepas keluar menangkap ikan di perairan Kuala Muda, Pulau Pinang.
Kedua nelayan itu keluar dari Jeti Pangkalan Kuala Muda, Pulau Pinang pada jam 4 petang kelmarin.
Usaha pencarian kemudiannya dijalankan melibatkan dua buah bot Maritim Malaysia, sebuah bot Pasukan Polis Marin dan bot nelayan dari Jeti Nelayan Kuala Muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!