Penghantar makanan ditahan pandu lawan arus

Polis tahan tiga penunggang motosikal yang melarikan diri semasa sekatan jalan raya dan menunggang secara berbahaya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur semalam.
Polis tahan tiga penunggang motosikal yang melarikan diri semasa sekatan jalan raya dan menunggang secara berbahaya di Sri Hartamas, Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja penghantar makanan antara tiga yang ditahan kerana melakukan aksi menunggang motosikal secara berbahaya di Sri Hartamas, Lebuhraya Sprint di sini semalam.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aksi penunggang motosikal berkenaan dikesan semasa pemantauan Ops Khas E-hailing di kawasan terbabit.

Menurutnya, dua penunggang motosikal ditahan kira-kira jam 11.30 pagi selepas bertindak melarikan diri semasa sekatan jalan raya dengan menunggang secara melawan arus.

"Salah seorang daripada mereka berjaya ditahan selepas motosikal ditunggangnya berlanggar sesama sendiri. Bagaimanapun, seorang penunggang terus beredar sebelum melanggar sebuah lori dan berjaya ditahan.

"Penunggang terbabit dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut, tapak tangan dan siku," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, selain itu, seorang lagi penunggang motosikal turut berjaya ditahan kerana melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Katanya, pemeriksaan mendapati tangkapan pertama seorang lelaki berusia 22 tahun adalah pekerja penghantar makanan.

"Ketiga-tiga lelaki berusia 22 hingga 40 tahun itu kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kesemua motosikal jenis Yamaha 135LC dan SYM Evo 259 telah disita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!