Peminat ucap selamat tinggal buat Maradona
BUENOS AIRES - Ribuan peminat mengucapkan selamat tinggal kepada bintang Argentina, Diego Maradona hari ini sebelum dia dikebumikan di pinggir bandar.
Menurut AFP, legenda bola sepak itu dikebumikan dalam satu majlis yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat terdekat di kawasan tanah perkuburan Bella Vista di pinggir bandar Buenos Aires.
Mendiang salah seorang pemain terhebat di dunia, pastinya pemergian pemenang Piala Dunia berusia 60 tahun itu mencetuskan kesedihan di seluruh dunia.
"Saya rasa Diego adalah abadi, saya menjangkakan dia tidak pernah mati di hati kami. Saya sangat sedih kerana dia mampu memberi kegembiraan kepada kami," kata pemandu bas berusia 63 tahun, Antonio Avila di luar kawasan perkuburan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Diego Maradona meninggal dunia
Kematian Maradona: Argentina umum berkabung tiga hari
Bagaimanapun suasana tenang di tanah perkuburan itu berbeza dengan apa yang berlaku di Buenos Aires apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ketika bertembung dengan peminat.
Para peminat tidak mahu ketinggalan menyertai pengebumian pemain kesayangan mereka telah berbaris sejak awal pagi untuk melihat keranda bintang itu yang dibalut dengan bendera Argentina dan jersi nombor 10 di Istana Presiden.
Sebelum ini, perarakan keranda membawa bintang bola sepak Argentina itu bergerak pantas meninggalkan Istana Presiden di tengah ibu negara dengan kawalan polis trafik selepas ribuan peminat memberi penghormatan terakhir sejak awal pagi tadi.
Upacara pengebumian dipercepatkan oleh keluarga Maradona selepas segelintir peminat fanatik bertindak ganas sehingga berlaku pergaduhan dengan pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!