Kerajaan kaji kurangkan kadar tol

 Kerajaan bersama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji berbagai inisiatif dan kaedah bagi mengurangkan kadar tol di lebuh raya di Malaysia.
Kerajaan bersama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji berbagai inisiatif dan kaedah bagi mengurangkan kadar tol di lebuh raya di Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji berbagai inisiatif dan kaedah bagi mengurangkan kadar tol di lebuh raya di Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementerian itu juga membenarkan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya mencadangkan kaedah penstrukturan semula kewangan syarikat bagi tujuan pengurangan kadar tol.

Menurutnya, semua cadangan-cadangan berhubung perkara itu akan dibincangkan di antara Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan, Unit Kerjasama Awam & Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan agensi-agensi yang berkaitan bagi mencapai keputusan secara holistik.

"Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Bersama Hala tuju Industri Lebuh raya Bertol di Malaysia di antara Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri dijangka akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk pertimbangan dan kelulusan pada pertengahan November ini bagi tujuan ini," katanya di Dewan Rakyat.

Fadillah menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH- Puchong) yang meminta kementerian itu menyatakan apakah tindakan kerajaan untuk mengurangkan kadar tol di seluruh negara.

Awal minggu ini, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menegaskan kerajaan akan perlu menanggung pembiayaan beratus bilion ringgit jika bercadang mengambil alih semua lebuh raya di negara ini, dan langkah itu bukanlah tindakan yang wajar.

Semasa sesi penggulungan itu, Fadillah berkata, terdapat lapan lebuh raya yang layak untuk menaikkan kadar tol pada tahun hadapan, tetapi kenaikan itu masih belum dimuktamadkan.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Link Kedua, Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Selat Klang Utara (NNKSV).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!