40 pelombong haram terperangkap dalam runtuhan
BINDURA - Seramai 40 pelombong haram terperangkap di bawah tanah selepas lohong dalam lombong emas terbiar di timur laut Zimbabwe.
Bencana itu berlaku semalam di bandar Bindura, sekitar 70 kilometer (km) dari utara ibu kota Harare, kata ketua Persekutuan Pelombong Zimbabwe, Wellington Takavarasha.
Wartawan AFP menyaksikan sendiri penyelamat sedang mengepam keluar air dari lohong utama dengan harapan dapat membuka jalan masuk ke kawasan bencana untuk kerja-kerja menyelamat.
Menurut Takavarasha, pelombong yang terperangkap itu bekerja di dalam pondok di Lombong Emas Ran ketika lohong berkenaan runtuh.
"Enam pelombong berjaya dibawa keluar dan dibawa ke hospital dan mereka memberitahu, terdapat kira-kira 40 orang di dalam lombong ketika kejadian itu berlaku," katanya kepada AFP.
Sementara itu, pengarah Unit Perlindungan Awam, Nathan Nkomo berkata, pihaknya difahamkan terdapat beberapa sindiket yang melombong di sini.
"Setelah beberapa tiang diletupkan, ketika itulah keseluruhan lombong runtuh," katanya sambil menambah bilangan sebenar mangsa belum diketahui.
Ketika kerja menyelamat dilaksanakan, ratusan orang berkumpul di atas timbunan tanah berdekatan kawasan lombong dipenuhi lubang di celahnya yang digali oleh pelombong untuk mengeluarkan bijih.
Sebilangan besar mereka adalah saudara-mara yang duduk di bawah pokok sambil menunggu maklumat daripada pihak berkuasa.
Syarikat pengebumian juga dilihat mula mendirikan khemah di lokasi.
"Saya sedang menunggu anak saudara saya yang terperangkap di bawah tanah," kata Patience Jacob.
Difahamkan, pondok lombong berkenaan telah ditutup 10 tahun lalu dan pekerja yang diberhentikan tetap meneruskan kerja melombong emas secara haram.- AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!