Pelawa NGO aktifkan Sekretariat NGO Kedah

Mohd Firdaus (tengah) bersama sebahagian wakil NGO Kedah yang hadir taklimat penubuhan Sekretariat NGO Kedah.
Mohd Firdaus (tengah) bersama sebahagian wakil NGO Kedah yang hadir taklimat penubuhan Sekretariat NGO Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Sekretariat NGO Kedah diwujudkan untuk menghimpunkan pandangan pertubuhan itu bagi mendapatkan input menggubal dasar-dasar yang lebih efisien tanpa meminggirkan kesejahteraan rakyat.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd Firdaus Ahmad berkata, suara rakyat akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri menerusi badan ini.

“Bagaimanapun, hanya kira-kira 200 daripada 2,900 NGO di Kedah aktif manakala selebihnya kurang aktif atau tinggal nama saja. Kebanyakan NGO ini aktif namun masih banyak gagal dihubungi.

“Saya nasihatkan mana-mana NGO yang belum mendapat maklumat berkaitan sekretariat ini supaya mendaftar kerana ini antara platform untuk kerajaan negeri mendengar masalah NGO di Kedah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memahami antara kesukaran NGO untuk kekal aktif adalah kekangan kewangan, namun masih ada cara untuk NGO bergerak aktif, seterusnya melakukan kebajikan serta membantu kerajaan negeri.

“Sekarang NGO ada tempat untuk adukan sebarang masalah. Saya harap NGO dapat gunakan platform ini untuk menyuarakan suara akar umbi, menjadi perantara antara rakyat dan kerajaan negeri, bantu merealisasikan hasrat menjadikan Kedah lebih maju serta menyokong dasar pentadbiran.

“Ketepikan perbezaan politik dan bersatu bawah suara NGO agar menjadi suara yang dominan di Kedah. Ini antara pembaharuan dibawa kerajaan PH, belum pernah diwujudkan sekretariat seumpama ini.

“Saya bersedia dengar teguran dan kritikan daripada NGO namun setiap teguran hendaklah disertakan cadangan penambahbaikan agar perbincangan lebih harmoni,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Firdaus berkata, badan itu juga akan mengenal pasti kepakaran dan kecenderungan NGO untuk diklasifikasikan bawah jawatankuasa yang dilantik.

“Kita akan wujudkan pengerusi untuk 16 portfolio antaranya Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Wanita, Kebajikan, Pertanian, Kesihatan, Belia dan Sukan serta Utiliti dan setiap pengerusi portfolio akan melantik pengerusi kawasan di 15 bahagian parlimen,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!