Heroin RM18 juta dari Thailand gagal 'masuk pasaran'
KUALA NERANG - Polis berjaya merampas dadah jenis heroin sebanyak 108 kilogram bernilai RM18 juta di tepi Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, Padang Terap dipercayai dibawa masuk ke negara ini oleh dua warga Thailand pada Rabu lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dadah yang dipercayai untuk pasaran tempatan di negara ini berjaya ditumpaskan hasil usaha daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kedah, Bahagian Narkotik Polis Daerah Padang Terap dan Unit Pasukan Udara PDRM.
Menurutnya, kedua-dua lelaki berusia 28 tahun tersebut ditahan ketika menaiki sebuah kereta jenis Wira Aeroback kira-kira jam 8 malam pada hari kejadian.
"Hasil pemeriksaan pada kenderaan tersebut, kita menjumpai sejumlah dadah yang kita syaki heroin pada bahagian belakang dan susulan daripada itu dibuat tangkapan pada mereka.
"Keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah 108 kilogram dengan harga pasaran semasa bernilai RM18 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap hari ini.
Hasanuddin berkata, kedua-dua lelaki tersebut telah direman bermula semalam sehingga 6 Disember depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Dadah Akta Berbahaya 1952.
Katanya, susulan tangkapan tersebut dan hasil soal siasat yang dilakukan, satu serbuan telah dilakukan pada Khamis jam 6 pagi di kawasan Hutan Situlang, Kuala Nerang dan berjaya menahan seorang lelaki Melayu dan seorang lelaki Thailand yang menaiki kereta jenis Pajero Mitsubishi dibantu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bidor.
"Pemeriksaan lanjut terhadap Pajero itu telah menemui dadah jenis ganja seberat 7.75kg bernilai RM20,000 di bahagian tempat duduk belakang kereta berkenaan.
"Serbuan seterusnya dibuat di kawasan yang sama pada jam 10.30 pagi dan menahan seorang lelaki Melayu dan seorang lelaki Thailand yang keluar dari kereta jenis Mitsubishi Triton sebelum menjumpai satu laras senapang patah dan sebilah parang panjang," katanya.
Menurutnya, polis turut menjumpai dadah jenis syabu seberat 9.3gram dan 5.18gram dadah jenis pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1,450 dan kedua-dua suspek yang positif dadah jenis syabu telah ditahan dan dibawa ke IPD Padang Terap untuk siasatan lanjut.
"Polis juga berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Thailand yang mencurigakan di kawasan hutan yang sama yang mana terdapat beberapa khemah sementara yang dipasang. Tempat lokasi mereka yang ditahan di kawasan hutan itu sangat hampir dengan sempadan jadi kita syak mereka jadikan kawasan itu sebagai lokasi transit.
"Penahanan kesemua suspek ini dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain dan kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!