Bekalan keperluan cukup sepanjang musim banjir, PKPB

Saifullizan ketika membuat pemantauan bekalan bawang ke atas sebuah premis pemborong di Jalan Bijih Timah, Ipoh hari ini.
Saifullizan ketika membuat pemantauan bekalan bawang ke atas sebuah premis pemborong di Jalan Bijih Timah, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi serta mampu menampung secara berterusan pada musim banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan ke atas pasar raya utama, peruncit dan pemborong mendapati semua bekalan barang kawalan dan barang-barang keperluan asas di pasaran seluruh negeri adalah stabil dan mudah diperoleh.

Menurutnya, bagi kawasan Taman Meru 2C yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), pihaknya turut membantu kerajaan dalam memastikan penduduk terkesan dapat memperoleh bekalan barangan mereka dengan mudah.

"Dalam memastikan kedudukan bekalan ini terus mencukupi, kita telah menyediakan pelan kontigensi antaranya melantik beberapa pemegang stok mini daripada kalangan hypermarket, pasar raya, pemborong dan kedai runcit di sekitar kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir.

"Selain itu, kita juga membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan keperluan asas sehingga 30 peratus untuk pemborong dan peruncit terpilih.

"Setakat ini sebanyak 297 peruncit daerah dan 120 pemborong terpilih telah dilantik sebagai pusat bekalan barang dan kawalan barangan keperluan asas di setiap kawasan Parlimen seluruh negeri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pemantauan bekalan barang terkawal dijalankan KPDNHEP Perak membabitkan pemborong dan peruncit di sekitar Jalan Bijih Timah, Ipoh hari ini.
Pemantauan bekalan barang terkawal dijalankan KPDNHEP Perak membabitkan pemborong dan peruncit di sekitar Jalan Bijih Timah, Ipoh hari ini.

PKPB dilaksanakan di seluruh negeri ini bermula 8 November lalu sehingga 6 Disember depan sementara PKPD di Zon B dan C Taman Meru 2C dilaksanakan selama 14 hari bermula 20 November sehingga 3 Disember ini.

Artikel Berkaitan:

Sehingga hari ini, masih terdapat 221 mangsa banjir daripada 55 keluarga di tiga daerah iaitu Kerian, Manjung dan Hilir Perak ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

Mengulas lanjut, Saifullizan berkata, KPDNHEP Perak telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM118,650 dan 440 notis sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu sehingga semalam.

Katanya, jumlah itu hasil pemeriksaan ke atas 49,363 premis tetap dan terbuka yang dijalankan dengan jumlah kesalahan sebanyak 321 kes.

"Kesalahan paling tinggi yang kita kesan sepanjang tempoh ini adalah berkaitan harga bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Terdahulu beliau mengadakan pemantauan ke atas bekalan barang kawalan berjadual dan keperluan asas membabitkan pemborong dan peruncit di sekitar Jalan Bijih Timah, di sini.

Hasil pemantauan itu katanya, didapati semua barangan kawalan antaranya minyak masak, gula, tepung dan beras sangat mencukupi.

"Jadi kita minta semua rakyat negeri ini tidak panik atau risau dengan isu bekalan barangan pada musim banjir dan PKPB ini.

"Pemantauan dilakukan secara berterusan dan setakat ini tiada pemborong atau peruncit yang dikesan menjalankan aktiviti tidak beretika seperti menyembunyikan bekalan atau melakukan kenaikan harga melampau," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Macam dalam zon perang'

PKPD Taman Meru 2C: Jawatankuasa digerak agih bantuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!