Malaysia belum sampai tahap guna konsep 'wang helikopter'

Zulkefly
Zulkefly
A
A
A

SHAH ALAM - Kedudukan kewangan Malaysia ketika ini dilihat masih belum sampai ke tahap perlu menggunakan konsep wang helikopter atau kerajaan perlu mencetak wang lebih untuk menstabilkan ekonomi.

Timbalan Pengarah Pusat IDEA-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zulkefly Abdul Karim berkata, secara asas, Malaysia dan mana-mana negara sekali pun di dunia mempunyai tiga cara untuk memastikan kerajaan mendapat hasil iaitu pertama menerusi kutipan cukai, kedua terbitan bon dan ketiga dengan mencetak wang.

"Jadi dalam konteks negara kita sekarang kita masih tidak ada masalah kerana cukai kita masih dapat menampung perbelanjaan operasi walaupun bajet kita defisit.

"Tapi defisit itu untuk membiayai perbelanjaan pembangunan melalui terbitan bon. Bon diterbitkan bertujuan membiayai perbelanjaan pembangunan.

"Justeru, kita masih belum perlu bergantung kepada (kaedah) cetak wang sebab cara pertama dan kedua masih boleh membiayai belanjawan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Edisi Ke-211 bertajuk 'Wang helikopter: Selamat atau bunuh sistem ekonomi?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian, di sini malam tadi.

Wacana itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad dan Timbalan Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Muhammad Zahid Abdul Aziz serta Herleena Pahlavy sebagai moderator.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kalau dilihat kepada sejarah, negara seperti Zimbabwe dan Venezuela menggunakan cara wang helikopter kerana tidak boleh menggunakan kaedah cukai dan terbitan bon.

Artikel Berkaitan:

"Zimbabwe dan Venezuela nak kenakan cukai tak mampu sebab ekonomi negara mereka telah jatuh. Nak terbitkan bon siapa nak beli bon? Jadi mereka terpaksa beralih kepada pilihan ketiga dengan cetak wang," katanya.

Bagaimanapun, Dr Zulkefly berkata, Malaysia tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan sekarang kerana belanjawan yang defisit boleh menjatuhkan gred bon negara.

Menurut beliau, ketika ini bon negara masih lagi dalam gred pelaburan yang bermaksud mempunyai risiko yang rendah sekali gus berjaya menambat hati pengurus dana untuk melabur dalam bon-bon di Malaysia.

"Kalau bajet negara berterusan pada angka yang besar, kemungkinan lima tahun akan datang bon kita daripada gred pelaburan sekarang boleh turun ke gred yang teruk seperti kadar bunga dijanjikan tinggi tetapi risiko tinggi. Kalau begini, siapa yang nak beli bon kita?

"Bon yang bagus adalah bon yang mendapat penarafan tinggi. Itu kesan sampingan daripada bajet defisit," katanya.

Dr Zulkefly menjelaskan, idea wang helikopter juga dilihat bukan satu keperluan untuk dilakukan ketika ini kerana disiplin dasar fiskal negara juga masih terkawal iaitu bajet defisit ditampung melalui terbitan bon yang hanya untuk membiayai pembangunan.

"Namun dari segi trend, kita dapati lebihan di dalam akaun semasa kita semakin mengecil. Jadi satu reformasi fiskal perlu dilakukan pihak pemerintah bagaimana untuk menjana pendapatan.

"Persoalannya adakah kita perlu bergantung kepada cukai sedia ada atau mempelbagaikan struktur cukai kita sebab asas cukai kita masih lemah.

"Kita masih bergantung kepada cukai secara terus. Contohnya, berapa ramai pembayar cukai? Mungkin dua juta tetapi yang mengelak cukai berapa ramai? Mungkin lebih dua juta," katanya.

Oleh itu, beliau memberitahu, keadaan itu menuntut dilakukan satu reformasi fiskal khususnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan setiap rakyat yang layak dan usahawan untuk membayar cukai.

Tambahnya, usaha kerajaan menerusi Belanjawan 2021 dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi sebelum ini sedikit sebanyak menyamai konsep wang helikopter era moden ketika ini.

"Apa yang kerajaan buat bertepatan untuk menangani gelombang pandemik koronavirus (Covid-19) untuk membantu golongan rentan dengan pelbagai bantuan kerajaan yang sudah diberi sebelum Bajet 2021 lagi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Kalau ikutkan, ia bukan sepenuhnya konsep wang helikopter tapi mungkin bila era moden kita boleh anggap itu 'helikopter drop' juga sebab perspektif yang berbeza melalui peranan kerajaan.

"Tapi dari segi definisi standard, wang helikopter adalah Bank Negara Malaysia (BNM) mencetak wang dan diagihkan kepada rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!