AC Milan tetap semangat tanpa Ibrahimovic
PEMBANTU jurulatih AC Milan, Daniele Bonera menyifatkan skuad Rossoneri itu tetap tampil bersemangat biarpun tanpa kelibat penyerang sensasi, Zlatan Ibrahimovic.
Bonera berkata, skuad Rossoneri itu tetap dilihat menampilkan aksi penuh bersemangat pada aksi Liga Europa berdepan Lille awal pagi semalam.
Menurutnya biar pun kedua-dua pasukan terikat 1-1, namun kesebelasan pemain dilihat masih mampu mempamerkan aksi bertenaga di sepanjang perlawanan.
“Ini adalah bukti kekuatan pasukan kita dan kita gembira dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kesebelasan pemain.
“Cuma dengan keputusan seri, ia dilihat agak memalukan. Namun apa yang pasti, sama ada dengan kehadiran Ibrahimovic atau tidak, pemain kita tetap mampu memberikan aksi yang terbaik,” katanya.
Untuk rekod, Bonera diberikan tanggungjawab mengemudi AC Milan setelah ketua jurulatihnya, Stefano Pioli diarahkan menjalani proses isolasi diri setelah disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Ibrahimovic, 39 tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan hamstring setelah membantu kemenangan 3-1 ke atas Napoli baru-baru ini.
Pada perlawanan berkenaan, Samu Castillejo membuka jaringan buat AC Milan pada minit ke-46 namun pemain Lille, Jonathan Bamba berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65.
Keputusan seri itu juga menyaksikan AC Milan berada pada kedudukan kedua Kumpulan H dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, seri sekali dan tewas sekali daripada empat perlawanan.
Sementara itu Bonera berkata, aksi hebat yang dipamerkan oleh kesebelasan AC Milan pada perlawanan berkenaan memberikan petanda baik kepada pasukan.
“Secara keseluruhannya, semangat pasukan ini tetap sama dan ‘membara’, walaupun tanpa kehadiran Ibrahimovic,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!