'Pandanglah ujian Covid-19 dari sudut positif'

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Financial Genius Group (FGG), Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman ketika Wacana al-Quran bertajuk 'Bangkit Dari Tersungkur' di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Financial Genius Group (FGG), Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman ketika Wacana al-Quran bertajuk 'Bangkit Dari Tersungkur' di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Wabak koronavirus (Covid-19) merupakan hikmah ALLAH SWT untuk hamba-Nya bagi meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Financial Genius Group (FGG), Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman berkata, kehidupan akan menjadi lebih baik jika Covid-19 dipandang dari sudut positif.

Menurutnya, ada dalam kalangan masyarakat yang mengharungi kehidupan sepanjang Covid-19 seperti 'jatuhnya sebiji telur lalu pecah'.

“Malah, ada yang jatuh terduduk dan tidak bangun-bangun, sedangkan banyak peluang yang ada. Kalau jatuh, jatuhlah seperti bola tenis. Apabila jatuh, ia melantun-lantun dan terus bangkit.

“Apabila ALLAH SWT datangkan ujian, sudah pasti di hujungnya ada pengharapan dan peluang. Sebenarnya Covid-19 adalah peluang jika kita melihat ia sebagai sesuatu yang positif.

“Tetapi jika melihat sebaliknya, maka jawapannya ada pada diri sendiri. Sama ada mahu menjadi telur atau bola tenis kita yang pilih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana al-Quran bertajuk 'Bangkit Dari Tersungkur' di Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Turut menjadi panelis ialah Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Ustaz Mustafar Mohd Suki.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail pula bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 155 hingga 157 dan surah-surah yang berkaitan.

Sementara itu, Mahadi turut berkongsi beberapa teknik untuk bangkit mendepani kehidupan hari ini.

“Teknik yang pertama ialah minda perlu sentiasa positif, kena gembira dan kagum dengan orang lain. Jangan tengok orang yang lebih mewah, kita fikir bukan-bukan.

“Teknik kedua ialah ubah perkataan yang diucapkan kerana perkataan adalah doa. Apa yang kita ulang, itulah yang akan jadi. Sama juga, apabila kita bangun pagi dan mulakan setiap pekerjaan dengan benda negatif, maka hasilnya negatiflah.

“Ketiga ialah kita kena faham bahawa apa yang dirasakan dalam hati perlu selari dengan apa yang diucapkan. Daripada hati dan cakap kita boleh lakukan. Kita perlu cakap pada diri bahawa tanggungjawab kita untuk berjaya dunia dan akhirat,” kata beliau.

Jelasnya, tidak ada sesiapa yang mahu menjadi miskin, jatuh merundum atau ditimpa musibah.

"Tetapi perlu ingat apabila ALLAH SWT sayangkan kita, Dia akan bagi ujian. Maka, reda dan bangkitlah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!