Dua lelaki mengaku tidak mencuri

Pihak polis membawa Nor Hakim (kanan) ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dakwaan mencuri dua minggu lalu.
Pihak polis membawa Nor Hakim (kanan) ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dakwaan mencuri dua minggu lalu.
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri, dua minggu lalu.

Husniaslam Salehhuddin, 31, dan Nor Hakim Nurul Amin, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, Husniaslam didakwa atas pertuduhan mencuri sebuah kereta Honda City yang bernilai RM80,000 milik seorang pengurus operasi syarikat telekomunikasi, Johan Haniff Nor Razlan, 33.

Kejadian didakwa dilakukan di Jalan Hilir 6, Taman Ampang Hilir, Kampung Pandan, di sini pada jam 6.30 pagi, 14 November lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar ikat jamin diberi pada kadar rendah atas alasan perlu menjaga bapa yang sakit.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Normaizan membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 14 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan:

Sementara bagi pertuduhan terhadap penganggur, Nor Hakim, dia didakwa mencuri enam ‘jack base’ atau alat pembinaan di sebuah tapak projek pembinaan di Kampung Pandan di sini pada jam 6 pagi, 16 November lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, serta bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Suriantiazila tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh kerana dia bukan warganegara Malaysia.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat sebarang rayuan kerana memaklumkan tiada ahli keluarga hadir untuk menjaminnya.

Mahkamah menetapkan tarikh sama sebagai sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!