Permohonan Jamal batal saman fitnah Teresa Kok ditolak
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok terhadapnya berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Panel tiga hakim iaitu Datuk Suraya Othman, Datuk Has Zanah Mehat dan S. Nantha Balan turut memerintahkan Jamal membayar kos RM7,000 kepada Kok.
Prosiding kes rayuan itu dilaksanakan menerusi aplikasi Zoom. Peguam V. Mugunthan dan Mohammad Fauzi Abdul Samad mewakili Jamal, sementara Datuk Sankara Nair, Tan Han Sam dan Elyse Ng Zi Qian bertindak bagi pihak Kok.
Sankara berkata, susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, kes itu akan diteruskan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi menetapkan 3 Januari depan untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh perbicaraan.
ARTIKEL BERKAITAN Kes saman Teresa Kok, Jamal mula 29 April
Mugunthan ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah.
Jamal memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Januari lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman fitnah itu.
Beliau memfailkan permohonan itu pada 25 April 2019 atas alasan tiada klausa tuntutan yang munasabah dalam tuntutan saman Teresa.
Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh, memfailkan saman itu pada 6 April 2017, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.
Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.
Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.
Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!