APMM minta kerjasama Indonesia tangani isu pencerobohan perairan negara
LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meminta kerjasama agensi negara Indonesia untuk membantu bersama-sama menangani isu pencerobohan bot nelayan rakyat negara itu ke perairan Malaysia.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, ia berikutan peningkatan mendadak angka pengusiran bot nelayan Indonesia dalam tempoh sebulan di sepanjang jarak 23.6 hingga 28.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak.
Menurutnya, APMM Perak telah berjaya mengusir 173 buah bot nelayan Indonesia yang menceroboh bermula 9 November sehingga semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot yang diusir itu membawa lima hingga lapan krew termasuk tekong dengan membawa peralatan menangkap ikan di atasnya.
“Sehingga Oktober, lebih 100 buah bot nelayan negara jiran itu telah diusir. Ini menjadikan jumlah keseluruhan tindakan pengusiran bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 26 November ialah sebanyak 363 buah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zubil berkata, tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari perairan Malaysia adalah untuk menyekat penyebaran wabak koronavirus (Covid 19) melibatkan warga asing selain membantu menurunkan graf kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat.
"Pihak kita telah menghubungi rakan sejawatan pihak berkuasa Indonesia dan Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang bagi mendapatkan kerjasama agensi negara jiran itu supaya isu pencerobohan bot-bot nelayan Indonesia dan PATI ke perairan negara dapat ditangani dengan jitu.
"Pada masa sama, aset-aset APMM yang merangkumi kapal, bot pemintas, pesawat udara dan radar akan terus mengawas ketat sempadan perairan negara dengan meningkatkan rondaan penguatkuasaan serta pengutipan maklumat perisikan," katanya.
Jelasnya, APMM akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain yang telah diberi mandat untuk memerangi kemasukan PATI di bawah National Task Force.
"Komuniti maritim diminta memberi kerjasama memerangi kegiatan tonto dan ejen pencerobohan nelayan asing dan penyeludupan PATI serta kegiatan jenayah di perairan negara.
"Semua maklumat dan aduan hendaklah disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03- 8943 4001 atau National Task Force di talian 011-6251 1123," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!