Kedudukan UiTM melonjak walaupun dalam pandemik Covid-19
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah melonjak ke tangga 108 universiti terbaik di Asia dalam QS Asia University Ranking daripada keseluruhan 634 institusi pengajian tinggi yang lain.
Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pengumuman yang dibuat pada 25 November itu merekodkan peningkatan lima tahun berturut-turut sebanyak 73 anak tangga dari kedudukan 181 pada tahun 2017.
Menurutnya, UiTM berjaya mendapatkan kedudukan 17 peratus terbaik di Asia dengan pertambahan sebanyak 93 universiti yang dinilai dari seluruh Asia, manakala pertambahan enam universiti pula dari Malaysia.
“Dalam keadaan mencabar sekarang, UiTM berjaya meningkatkan kedudukan sebanyak 11 tangga tahun ini berbanding di tangga 119 pada tahun lalu.
“Peningkatan secara berterusan ini menunjukkan UiTM berada dalam laluan yang betul ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025,” katanya satu kenyataan kelmarin.
Mohd Azraai berkata, QS Asia University Ranking menilai universiti berdasarkan 11 petunjuk utama; antaranya Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Sitasi Penerbitan, Nisbah Pelajar kepada Staf Akademik dan Jaringan Penyelidikan Antarabangsa.
“Berdasarkan 11 petunjuk itu, UiTM menunjukkan peningkatan memberansangkan dalam tiga petunjuk utama iaitu Reputasi Akademik, Reputasi Majikan dan Jaringan Penyelidikan Antarabangsa.
“Berbanding dengan prestasi yang dicatatkan pada tahun 2020, petunjuk Jaringan Penyelidikan Antarabangsa menjadi kekuatan utama UiTM untuk edisi 2021 iaitu di kedudukan ke-38 di Asia yang meningkat sebanyak 30 anak tangga,” katanya.
Mengulas tentang khabar gembira itu yang diumumkan di persidangan QS APPLE 2020 secara maya, Mohd Azraai menzahirkan rasa syukur terhadap pencapaian yang membanggakan walaupun dunia dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).
“Pencapaian ini sudah tentu menjadi kebanggaan seluruh warga universiti yang banyak memberikan sokongan dan kerjasama bersepadu melalui inisiatif yang yang agresif dan konstruktif.
“Antaranya ialah inisiatif jaringan antarabangsa melalui penganjuran acara dan program secara dalam talian serta meningkatkan prestasi penerbitan dan sitasi dengan pemberian insentif kepada para penulis yang berjaya menerbitkan artikel berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, usaha meningkatkan UiTM di peringkat global juga digiatkan dengan penglibatan dalam acara-acara dunia yang dianjurkan dalam talian seperti QS Apples, The Roundtable dan IMT-GT Uninet 2020 Voices of Student Leaders.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!