Dua beradik didakwa eksploitasi wanita Indonesia

No Image Caption
A
A
A

TELUK INTAN - Dua beradik wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagangkan enam wanita warga Indonesia berumur antara 22 hingga 40 tahun untuk eksploitasi paksa kerja dan mengambil pekerja tanpa pas yang sah di Tanjung Malim sejak 11 tahun lalu.

Lie Ying Har, 53, yang didakwa atas dua pertuduhan dan adiknya Lie Ying Ping, 50, yang mempunyai lima pertuduhan mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ying Har didakwa memperdagangkan seorang wanita bagi maksud eksploitasi paksa kerja di sebuah rumah di Taman Seri Indah, Tanjung Malim pada 2 November lalu dan pendakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda.

Bagi pertuduhan kedua, Ying Har didakwa mengambil bekerja seorang wanita yang tidak mempunyai pas sah di alamat sama pada pertengahan 2009 dan didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli dan Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala kedua-dua beradik itu diwakili peguam Fong Phooi Nam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua dengan masing-masing seorang penjamin.

Sementara itu, Ying Ping didakwa memperdagangkan empat wanita bagi maksud eksploitasi paksa kerja di dua kedai di Lot 2, PT 5032 dan Lot 4, PT 5034, Jalan Rumah Rehat, Tanjung Malim, pada 2 November lalu dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda.

Norita membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Ying Ping turut didakwa mengambil bekerja seorang wanita yang diperdagangkan oleh kakaknya tanpa pas yang sah di sebuah kedai di Lot 2, PT 5032, Jalan Rumah Rehat Tanjung Malim pada 7 November lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan itu, mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut menetapkan 18 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes kedua-dua tertuduh.

Kes berkenaan dikendalikan di Teluk Intan kerana tiada Mahkamah Sesyen di Tanjung Malim. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!