Gerakan Keadilan Monetari cadang tubuhkan Bank Malaysia
SHAH ALAM - Gerakan Keadilan Monetari Malaysia mencadangkan supaya Bank Malaysia ditubuhkan supaya cetakan wang dapat dilakukan sendiri kerajaan dan tidak lagi dilakukan bank swasta yang diyakini dapat memulihkan ekonomi.
Timbalan Pengerusinya, Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata, pihaknya juga telah membentangkan satu akta mengenai perkara itu di Parlimen.
Katanya, pihaknya berharap akta itu nanti akan diluluskan bagi membolehkan hak ciptaan wang diberikan kepada kerajaan dan tidak lagi melibatkan bank swasta.
"Mengikut legasi sistem kita, hak penciptaan wang itu diserahkan kepada bank swasta.
"Masalahnya bank swasta objektifnya untuk memaksimumkan keuntungan pemegang saham. Jadi mereka akan halakan wang tersebut untuk pinjaman peribadi, kad kredit dan sebagainya yang tidak menghasilkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Edisi Ke-211 bertajuk 'Wang helikopter: Selamat atau bunuh sistem ekonomi?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian di sini kelmarin.
Menurutnya, berdasarkan statistik, dianggarkan sebanyak 84 peratus pinjaman bank seluruh dunia membabitkan pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman perumahan dan hartanah komersial serta sektor kewangan.
Jelas beliau, semuanya tidak pergi kepada ekonomi tampak sebaliknya ia menghasilkan inflasi am yang berat dan terpaksa ditanggung rakyat marhaen manakala pinjaman perumahan pula menghasilkan inflasi gelembung.
"Sebab itu kami cadangkan reformasi secara total sistem di mana kita kena pisahkan bank itu kepada dua iaitu satu bank pembayar yang menyediakan kemudahan seperti kad debit dan mereka dapat pendapatan fi yang dikenakan.
"Yang kedua bank pelabur. Kita mesti pisahkan akaun semasa daripada pinjaman. Mana-mana institusi yang menawarkan kedua-dua perkhidmatan yang sebelum ini berkeupayaan mencipta wang. Mereka diberi lesen mencipta wang.
"Apabila dipisahkan bank kepada bank pelabur dan bank pembayar, maka matilah keupayaan mereka untuk mencipta wang. Cadangan kami agar hak ciptaan wang itu dialihkan kepada Bank Malaysia," katanya.
Katanya, Bank Malaysia nanti akan berbeza dari bank biasa kerana ia akan diletakkan di bawah Parlimen dan tidak bernaung di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).
Muhammad Zahid berkata, dengan wujudnya Bank Malaysia, wang akan dihalakan 100 peratus kepada ekonomi sebenar (ekonomi tampak) sekaligus ia akan mengelakkan wujudnya inflasi.
"Sekarang hanya 16 peratus sahaja yang pergi kepada ekonomi tampak. Sekarang di dunia sektor industri kecil dan sederhana (IKS) mencipta 80 peratus peluang pekerjaan tetapi mereka ini sekarang seperti dianaktirikan.
"Apabila ada ciptaan wang oleh kerajaan kita boleh tumpu kepada sektor IKS. Dengan demikian 100 peratus kewangan, kita halakan kepada ekonomi tampak seterusnya meningkatkan output ekonomi dan menambahkan peluang pekerjaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!