KPM segerakan pembinaan semula projek sekolah terbengkalai
KUALA LANGAT - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengenal pasti projek pembinaan sekolah yang telah lama terbengkalai di seluruh negara, bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan semula dapat disegerakan.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, usaha ini penting kerana projek terbengkalai itu akan menyebabkan lebih banyak kerosakan sekali gus meningkatkan kos pembinaan.
“Kementerian akan turun padang untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku serta kenal pasti halangannya untuk diselesaikan supaya projek dapat diteruskan dengan baik.
“Ini merupakan antara tumpuan KPM pada waktu ini berkaitan projek-projek pembinaan sekolah yang terbengkalai,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra yang terbengkalai, di sini hari ini.
Justeru, katanya, segala masalah birokrasi di bawah pentadbiran KPM atau agensi lain akan dikurangkan bagi membolehkan projek 'sakit’ ini dapat dipulihkan segera.
“Untuk projek 2021, kita buat perancangan awal supaya pelaksanaannya nanti dapat dijalankan dengan baik dan lancar menepati jadual yang telah ditetapkan, mekanisme, tatacara yang sama cuma ada perkara yang kita boleh pendekkan tempohnya dengan kerjasama semua pihak,” katanya.
Mengulas projek pembinaan SK Bandar Saujana Putra dan SMK Bandar Saujana Putra yang terbengkalai sejak 2019, Radzi berkata, tender akan dibuka bagi membolehkan pelantikan kontraktor baharu bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan semula.
“Kita akan usahakan supaya tender dapat dikeluarkan dalam masa terdekat, insyaALLAH pada awal tahun hadapan kita jangka kontraktor baharu sudah boleh masuk tapak.
“Untuk SK Bandar Saujana Putra, kerja-kerja pembinaan setakat ini dianggarkan kira-kira 55 peratus manakala SMK Bandar Saujana Putra hanya tinggal lima peratus lagi untuk disiapkan. Kita jangka SMK Bandar Saujana Putra akan siap hujung 2021 manakala SK Bandar Saujana Putra akan menyusul selepas itu,” katanya.
Tambahnya kapasiti bilik darjah bagi SK Saujana Putra adalah sebanyak 24 buah, manakala SMK Saujana Putra dengan 36 bilik darjah.
Selain itu, Radzi berkata, KPM juga sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan semula SMK Langkon, Kota Marudu di Sabah yang terbengkalai sejak 2016. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!