Pangsapuri jadi pusat operasi judi dalam talian
KEPALA BATAS - Polis menumpaskan sindiket perjudian dalam talian selepas menahan empat lelaki berusia lingkungan 25 hingga 29 tahun di sebuah pangsapuri di Butterworth dalam Ops Dadu Khas semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima maklumat mengenai kediaman tersebut yang dijadikan pusat operasi dan panggilan sebelum menyerbunya pada jam 3.30 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, sindiket perjudian itu mampu mengaut keuntungan RM10,000 hingga RM20,000 setiap hari.
"Kesemua yang ditahan adalah pekerja sindiket perjudian tersebut. Kita melakukan risikan dan intipan sejak dua bulan lalu sebelum serbuan dibuat.
"Siasatan polis mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp secara rambang kepada semua nombor telefon yang mereka ada.
"Penerima mesej yang berminat dengan tawaran iklan tersebut dikehendaki membalasnya dengan 'setuju' lalu mereka dikehendaki membuat bayaran ke dalam akaun bank sindiket seperti yang diarahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Noorzainy berkata, apabila pelanggan membuat bayaran, mereka diberikan ID pengguna dan perlu memuat naik jenis permainan judi online yang mereka mahu terlebih dahulu.
"Mereka kemudiannya perlu masuk menggunakan ID yang diberi untuk menerima mata dalam bentuk kredit.
"Siasatan mendapati pangsapuri yang disewa sindiket berkenaan dijadikan pusat panggilan (call centre) untuk pertaruhan sejak beberapa bulan lalu dan polis kini giat mengesan dalang utama sindiket tersebut," katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu mensasarkan rakyat negara ini sebagai pelanggan dan premis itu juga didapati beroperasi 24 jam sehari dengan pekerja akan mengawal komputer utama serta telefon pintar.
"Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan komputer, sejumlah telefon bimbit, sim kad, kalkulator, buku mengandungi catitan perjudian dalam talian, router dan wayar kabel.
"Empat lelaki itu mendakwa mereka baru bekerja dengan sindiket tersebut dan menerima bayaran gaji bulanan antara RM2,000 hingga RM4,000 setiap bulan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 1 (C) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!