Komunikasi lemah, arahan saat akhir punca pembangkang keliru
SHAH ALAM - Komunikasi yang lemah serta penukaran keputusan pada saat akhir adalah punca pihak Parlimen pembangkang keliru dan tidak meneruskan undi belah bagi ketika undian Belanjawan 2021 peringkat dasar diadakan semalam.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu wawancara bersama BFM Radio hari ini berkata, pembangkang telah bersetuju untuk meminta undi belah bahagi dalam beberapa pertemuan sebelum ini dan seharusnya diteruskan.
Beliau secara peribadi merasakan bahawa perkara yang terjadi ini adalah salah dan meminta maaf atas perkara ini.
"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak ahli Parlimen lain, tetapi secara peribadi saya percaya bahawa apa yang berlaku adalah salah dan saya meminta maaf (kepada rakyat)," katanya.
Syed Saddiq juga menegaskan supaya jika keputusan telah dibuat secara kolektif, maka ia perlu diteruskan dan tidak diubah pada saat akhir kerana ia telah menyebabkan pembangkang keliru.
"Tugas kita sebagai pembangkang bukan hanya untuk meraih undi atau tiba-tiba menukar kerajaan. Meskipun mereka yang berada dalam UMNO sendiri keberatan untuk tiba-tiba menyokong belanjawan, sudah menjadi tugas kita sebagai pembangkang memastikan kerajaan menggalas tanggungjawab," katanya.
Apabila disoal mengenai langkah yang akan diambil oleh pembangkang untuk undian Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa minggu depan, beliau menegaskan bahawa perkara ini tidak patut berulang lagi.
“Selepas ini, para pemimpin perlu bertanggungjawab dan dalam masa yang sama, perlu meminta maaf kepada rakyat jika ia berlaku lagi,” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat telah meluluskan Belanjawan 2021 bagi peringkat dasar melalui undian suara selepas cubaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menggesa undi belah bahagi tidak diluluskan kerana hanya mendapat sokongan 13 anggota Parlimen.
Syed Saddiq antara ahli Parlimen yang tidak berdiri untuk menyokong undi belah bahagi itu.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengumumkan untuk meluaskan manfaat pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain insentif lain yang telah diterima baik oleh ahli Parlimen UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!