Belanjawan 2021 masih samar
TUKANG CERITA
Maka seperti yang kita ketahui, telah luluslah secara dasarnya atau di peringkat bacaan kedua Belanjawan 2021. Namun, masih panjang perjalanannya. Seperti yang umum ketahui, bahawa Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 ini terbahagi kepada dua peringkat, peringkat dasar dan peringkat jawatankuasa.
Peringkat jawatankuasa akan bermula pada hari Isnin ini selama 10 hari untuk dibahas dan diundi. Biasanya pada peringkat ini juga berlaku pengundian secara suara sahaja. Tetapi mungkin disebabkan majoriti kerajaan yang tipis, akan menjadi sangat kritikal juga.
Pakatan Harapan pernah melakukan perkara begini pada pembentangan Peringkat Jawatankuasa Belanjawan 2018 yang hanya kalah tipis dengan hanya satu undi. Maka mungkin perkara ini akan berulang sekali lagi pada Belanjawan 2021 seperti yang telah dikatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini.
Anwar telah memberi peringatan untuk tidak terlalu gembira. Katanya, blok pembangkang akan melaksanakan undi secara belah bahagian jika perbahasan peringkat jawatankuasa ini gagal memenuhi permintaan mereka.
Dan ini mungkin lebih kritikal jika dibandingkan dengan peringkat perbahasan dasar disebabkan majoriti tipis yang ada pada kerajaan Perikatan Nasional yang mana di peringkat jawatankuasa ini segala perincian akan dibahas.
Dan katanya yang saya petik daripada sebuah akhbar, “Jangan ingat mereka (kerajaan) boleh merayakan kelulusan ini. Kita menolak belanjawan ini dari segi prinsipnya, unjuran salah dan hasil pendapatan yang tidak realistik.”
Kata Anwar lagi merujuk kepada Menteri Kewangan, “Kita tidak akan memberi laluan mudah. Di peringkat dasar ini kami sokong sebab ia berkait dengan rakyat jelata. Ada maklum balas positif berhubung isu kebajikan rakyat. Cuma isu pokok beliau tidak menjawabnya.”Saya ada juga membaca kenyataan Ketua Parlimen DAP, yang memberitahu sebab musabab mereka tidak membantah pada peringkat dasar. Mereka tidak mahulah dikatakan ingkar kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong dan dituduh tidak mementingkan rakyat jelata pula.
Kata Ketua Parlimen DAP lagi, mereka akan memainkan peranan pada perbahasan peringkat jawatankuasa nanti. Di peringkat jawatakuasa pula, setiap kementerian akan menggulung dan kemudian akan berlaku proses mengundi. Dan di peringkat inilah sama ada lulus atau tidak akan perincian belanjawan yang dibentangkan.
Setiap kementerian akan membentangkannya mengikut giliran. Selesai satu kementerian, kementerian lain pula akan menggulung, dibahas dan diundi untuk kelulusan. Semuanya tertakluk akan sokongan ahli Parlimen sendiri.
Seperti yang saya katakan sebelum ini, laluannya agak panjang dan berliku juga. Selepas perbahasan spesifik semua fasal, jadual dan pendahuluan rang undang akan diadakan. Pindaan-pindaan akan dibincangkan.
Lalu untuk bacaan kali ketiga, undian untuk kali kedua akan dilakukan, di mana tajuk panjang akan dibaca untuk diluluskan di Dewan Rakyat sebelum dibahas pula ke Dewan Negara. Masih banyak likunya.
Selain itu, kebarangkalian untuk ditolak di pihak kerajaan pun mungkin boleh terjadi di peringkat jawatankuasa ini. Seperti yang diberitahu oleh Datuk Seri Najib Tun Razak juga bahawa jika pelaksanaannya menyusahkan rakyat, mungkin Barisan Nasional (BN) akan menolaknya juga.
Dan jika diluluskan pun katanya, tetapi tidak menepati janji seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kewangan sebelum ini masih ada jalan untuk BN menuntutnya dilaksanakan mengikut permintaan mereka.
Ketua Pemuda UMNO juga bertegas akan memantau segala perincian dan pelaksanaan supaya menjadi kenyataan dan tidak menyusahkan rakyat jelata.
Kalaulah di peringkat jawatankuasa ini pihak pembangkang dan sebahagian kerajaan memainkan peranan untuk tidak meluluskan Belanjawan 2021 ini, maka, makin teganglah pemerintahan Pakatan Nasional ini. Mungkin ini satu mesej juga yang menyatakan bahawa kerajaan sedia ada sudah tidak ada sokongan lagi.
Ini bermakna mungkin perlu ada kerajaan dan Kabinet baharu dan juga belanjawan baru pula. Maka eloklah kita berdoa semoga ia berjalan lancar dan kebajikan rakyat jelata dapat disempurnakan dengan saksama.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!