Bayangan baharu Kabinet Biden

KHABAR DARI SEREMBAN

A
A
A

Selasa lalu Biden telah mengumumkan sebahagian daripada barisan Kabinetnya. Ini dilihat sebagai langkah awal untuk membawa perubahan yang dijanjikan beliau setelah empat tahun dasar unilateral ‘America First’ anjuran Donald Trump tidak membawa sebarang hasil kepada Amerika Syarikat (AS).

Untuk rekod, Perlembagaan AS membenarkan seseorang Presiden yang memerintah untuk membentuk struktur pentadbirannya menerusi dua cara; lantikan Kabinet (setaraf menteri) dan pegawai bertaraf Kabinet.

Sejumlah 16 ahli Kabinet yang perlu dilantik bagi menganggotai pentadbiran Biden, termasuklah Naib Presidennya, Kamala Harris. Kemudian Biden boleh melantik mana-mana individu untuk menjadi pegawai bertaraf Kabinet yang lazimnya jumlah kesemua mereka (Kabinet dan pegawai bertaraf Kabinet) bergantung kepada kelulusan Senat.

Setakat ini, selain Harris, Biden hanya mengumumkan dua nama secara rasmi yang bakal menganggotai Kabinetnya. Nama tersebut ialah Anthony Blinken sebagai Setiausaha Negara dan Alejandro Mayorkas sebagai Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri.

Beberapa nama juga telah dilantik ke jawatan pegawai bertaraf Kabinet seperti Ron Klain (Ketua Kakitangan Rumah Putih), Avril Haines (Pengarah Perisikan Kebangsaan), Jake Sullivan (Penasihat Keselamatan Negara) serta Bekas Setiausaha Negara AS ketika pentadbiran Barrack Obama, John Kerry sebagai Wakil Khas Presiden bagi perubahan iklim – isyarat jelas bahawa Biden akan segera kembali menyertai Perjanjian Paris 2016 yang dilangkau Trump seusai terpilih menjadi Presiden AS.

Biden dilihat mahu mengotakan janji awalnya ketika berkempen untuk membentuk gandingan Kabinet yang benar-benar mencerminkan kepelbagaian AS.

Keterbukaan Biden dengan kerencaman negara itu diperlihat dengan melantik Harris sebagai wanita pertama menjadi Naib Presiden. Malah, Harris yang memiliki darah campuran dilihat menepati kepelbagaian budaya yang sinomin dengan AS. Melihat perlantikan terkini oleh Biden, beliau jelas mahu mengangkat lebih ramai wanita dan warga kulit berwarna ke dalam pentadbirannya.

Ironinya, mengangkat Alejandro Mayorkas yang berketurunan Cuba-Amerika sebagai Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri juga dilihat mahu menutup kelemahan Trump yang antipendatang menerusi dasar antiimigran dalam pentadbirannya. Umum masih ingat bagaimana kacau bilaunya dasar imigresen Trump yang mengakibatkan ribuan keluarga terpisah di sempadan AS-Mexico yang kebanyakkannya melibatkan kanak-kanak. Mayorkas juga sebelumnya ialah Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS ketika pentadbiran Obama dan dijangka tiada masalah untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Walaupun begitu, tumpuan harus diberikan kepada kemampuan Anthony Blinken sebagai Setiausaha Negara kelak. Hala tuju dan kemampuan pentadbiran Biden dalam mengkalibrasi semula pengaruh global AS yang terjejas di bawah Trump dilihat tergantung kepada kebolehan Blinken.

Ketika ini wujud anggapan bahawa Blinken akan menghidupkan kembali agenda multilateral yang dijajanya ketika menjadi Timbalan Setiausaha Negara kepada Obama. Disebabkan itulah ramai yang menjangkakan dasar luar AS akan kembali kepada yang sebelumnya.

Mungkin wujud kelegaan daripada anggapan itu. Benar dunia boleh mengharapkan AS di bawah Biden kelak tidak banyak berubah ketika bersama Obama – multilateralisme, institutionalisme dan transatlantik (NATO). Tetapi Biden harus sedar dunia kini pantas berubah.

Dengan kebangkitan China sebagai kuasa baharu ekonomi dunia serta peningkatan kekuatan dan pengaruh Rusia di Eropah, pengulangan pendekatan yang sama seperti era Obama tidak akan membawa AS ke arah yang sepatutnya.

Sebagai permulaan, mungkin gandingan Biden-Blinken boleh mula dengan beberapa perkara iaitu pengukuhan kepimpinan serta pengaruh global AS, rekonsiliasi hubungan dan kepercayaan sekutunya, pembaikan ekonomi domestik serta penghapusan pandemik Covid-19.

* Majibu Abd Muiz ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!