Sekolah khas rekrut pakar penipu
SINDIKET Macau Scam yang memperdaya rakyat Malaysia sehingga kerugian lebih RM518 juta dalam tempoh dua tahun lalu dikesan beroperasi secara terancang apabila mereka mewujudkan sekolah khas bagi merekrut dan melatih ahli atau ejen mengenai teknik komunikasi untuk berurusan dengan mangsa.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, ini terbukti apabila serbuan yang dilakukan sebelum ini di sebuah pusat peranginan di Kedah mendapati kewujudan pusat latihan penipuan terdiri daripada warga China.
“Dipercayai ejen berkenaan dilatih di sekolah itu selama sebulan sehingga boleh membawa peranan sebagai pihak berkuasa seperti polis, pegawai bank, mahkamah dan lain-lain.
“Kita percaya latihan untuk rekrut ini dibuat dalam tempoh sebulan dengan cara berkomunikasi bagaimana hendak mendapatkan maklumat, menakutkan dan mengugut mangsa.
“Setelah tamat latihan itu, ahli sindiket itu akan dihantar ke luar negara seperti Thailand dan Kemboja untuk menipu warga tempatan di Malaysia.
“Kita percaya tindakan sindiket menghantar ahli mereka ke luar negara adalah bagi menyukarkan polis mengesan alamat IP yang direkodkan di luar negara,” katanya.
Ujarnya lagi, bagi warga asing yang dilatih pula akan dibawa ke Malaysia untuk menipu warga mereka sendiri di negara mereka.
“Modus operandi sindiket Macau Scam dikesan masih menggunakan kaedah panggilan menerusi sistem telefon suara melalui Protokol Internet (VoIP). Ini adalah untuk menyamar sebagai bermacam-macam pihak berkuasa,” katanya.
Menyentuh mengenai mangsa yang menjadi mangsa keldai akaun, beliau berkata, keldai akaun bermaksud satu akaun yang bukan milik sindiket atau mangsa.
Ia adalah milik orang lain yang digunakan sebagai transit wang haram terbabit.
“Akaun ini mungkin dibeli, disewa dan dibayar. Ada juga kes yang berlaku tanpa pengetahuan pemilik akaun asal.
Menurutnya, JSJK telah mengenal pasti terdapat lebih 73,000 keldai akaun yang pernah terlibat dengan sindiket sejak tahun 2016.
“Sindiket ini akan mengarahkan mangsa memindahkan duit ke dalam akaun itu sebelum sindiket akan segera mengeluarkan duit daripada akaun terbabit.
“Cerita berkenaan hutang, kiriman barang dan bungkusan barang berakhir dengan pemindahan duit ke keldai akaun,” katanya
Menurut Zainuddin, beliau percaya ada individu yang diupah untuk menjalankan tugas mencari keldai akaun tanpa pengetahuan individu pemilik akaun.
Katanya, pemilik akaun mungkin dijanjikan komisen antara RM300 hingga RM400 bagi setiap transaksi yang dimasukkan ke dalam akaun itu sebagai token tanpa mengetahui duit itu adalah hasil penipuan.
“Keldai akaun ini terdiri daripada golongan yang pelbagai. Ada dalam kalangan remaja serta dewasa selain mereka yang mencari kerja, penagih dadah dan sebagainya.
“Suspek akan ambil kesempatan atas kesusahan orang lain.
“Ada yang dibayar RM800 hingga RM1,200 untuk memberikan akaun mereka dan ada yang berpandukan kepada satu-satu urus niaga, bergantung kepada sindiket,” katanya.
“Kita percaya meskipun banyak serbuan dan tangkapan telah dibuat, tapi masih ada juga yang menjadi mangsa. Ini kerana sindiket bergerak secara berkumpulan,” kata Zainuddin.
Beliau berkata, pihaknya juga percaya ada sindiket menyewa hotel dan premis untuk dijadikan tempat operasi.
“Macau Scam yang dimaksudkan adalah modus operandi penipuan.
“Pusat panggilan biasanya merupakan tempat yang disewa dan dihuni warga asing untuk menjalankan penipuan ke atas rakyat mereka sendiri dan beroperasi di negara kita.
“Tetapi bila Covid-19 ini ada sekatan pergerakan, sindiket tempatan tidak dapat beroperasi di luar negara.
“Mereka beroperasi di dalam negara seperti tangkapan yang dibuat di Johor dan Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.
Jelasnya, di negara ini akan ada warga tempatan yang berperanan membantu untuk mendapatkan persediaan logistik dan sebagainya.
Zainuddin berkata, masyarakat boleh mendapatkan maklumat mengenai kes-kes penipuan di Facebook rasmi PDRM seperti JSJK Bukit Aman, CCID Info Line dan beberapa medium lain.
Sementara itu, semakan Sinar Harian mendapati mereka yang tertipu biasanya terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pensyarah, jurutera, bahkan kakitangan bank sendiri.
Menurut laporan Bernama, mereka menjadi mangsa akibat mudah terpedaya dengan ugutan dan janji manis oleh seseorang menerusi panggilan telefon, kononnya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan juga dari mahkamah.
Mangsa pula sering dilaporkan dengan mudah memberikan nombor pin dan nombor akaun bank, malah sanggup berhutang dengan bank antara RM200,000 hingga RM300,000, untuk dimasukkan ke dalam akaun seseorang selepas diminta berbuat demikian.
Lebih teruk lagi ada orang kerugian hampir RM1 juta, malah ada yang takut untuk membuat laporan selepas menyedari mereka tertipu.
Mengikut statistik PDRM, pekerja swasta merupakan golongan paling ramai menjadi mangsa pada tahun ini iaitu seramai 2,750 orang membabitkan kerugian RM79.4 juta.
Ia diikuti golongan tidak bekerja sebanyak 711 kes, kakitangan kerajaan (606), pesara (491), dan ahli perniagaan (451).Dalam pada itu, menurut Zainuddin, ada beberapa panduan untuk masyarakat mengenal pasti sama ada panggilan itu adalah Macau Scam.
“Pertama, tidak ada agensi kerajaan meminta bayaran kepada seseorang itu dengan memasukkan duit ke dalam akaun individu.
“Apatah lagi dimasukkan ke dalam banyak akaun individu. Usah teruskan sekiranya libatkan akaun individu. Tidak pernah jabatan kerajaan berurusan begitu.
“Satu lagi, tidak ada transfer call (pemindahan panggilan) dari jabatan ke jabatan lain, misalnya panggilan polis ke mahkamah dan SPRM. Tidak ada kemudahan sedemikian,” katanya.
Tegasnya, jika ada sebegitu, sudah pasti ia Macau Scam.
“Saya minta masyarakat yang belum jadi mangsa tetapi pernah dihubungi sindiket, boleh tampil buat laporan polis. Ini penting untuk kita rekod mengenai pemanggil, jantina, bahasa dan itu penting untuk risikan kita.
“Perlu diketahui sindiket ini terdiri daripada kumpulan pelbagai yang akhirnya kita berjaya kesan. Kita perlukan sehingga sekecil-kecil maklumat,” katanya.
Beliau berkata, orang awam tidak perlu melayan soalan-soalan daripada panggilan sedemikian sebab kita tidak tahu tahap kebolehterimaan panggilan yang dibuat suspek.
Katanya, ada mangsa mengatakan dia takut selepas dikatakan akan ditangkap, rampas harta dan sebagainya biarpun ketika itu dia dalam keadaan sedar.
“Kalau ada panggilan nombor luar negara juga perlu abaikan. Kita dari masa ke masa cuba meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam.
“Usaha pencegahan sama ada bersendirian atau bersama telah dijalankan termasuk menerusi ceramah, mesyuarat bersama badan bukan kerajaan (NGO), penduduk selain edaran maklumat di media sosial seperti Facebook dan sebagainya.
“Selain itu, polis juga bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan lain-lain. Kita dapat kerjasama baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!