SKM bantu belia sertai koperasi

Barisan Ahli Lembaga Koprojaya dan Naib Pengerusi Eksekutif SKM, Abas Abu Bakar (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama Al-Sultan Abdullah.
Barisan Ahli Lembaga Koprojaya dan Naib Pengerusi Eksekutif SKM, Abas Abu Bakar (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama Al-Sultan Abdullah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Keanggotaan terdiri daripada penjawat awam profesional yang masih muda menjadi aset berharga kepada Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) sehingga berjaya menjadi pelopor kepada penganjuran program berimpak tinggi di negara ini.

Pengerusinya, Mohd Arif Adenan berkata, anggota Koprojaya yang kini berjumlah 2,120 orang menjadi kekuatan koperasi itu sebagai sebuah entiti perniagaan yang bertunjangkan aktiviti pengurusan acara dan mampu mengagihkan dividen 10 peratus kepada anggotanya pada setiap tahun.

Menurutnya, keunikan Koprojaya ialah menghimpunkan anggota dalam kalangan penjawat awam yang mempunyai kelayakan akademik ijazah sarjana muda dan ke atas, mandaftar masuk ketika berusia antara 18 hingga 40 tahun, sekurang-kurangnya berada di Gred 16 dan ke atas serta masih berkhidmat (keanggotaan tidak terbatal selepas bersara atau berhenti).

“Mungkin bagi koperasi lain, aset mereka adalah bangunan, produk dan sebagainya tetapi aset Koprojaya yang paling berharga adalah anggota kita kerana mereka terdiri daripada penjawat awam muda yang profesional.

“Dengan pengalaman dimiliki mereka ketika berkhidmat dan semasa di universiti seperti menguruskan acara dan terlibat dengan majlis perwakilan pelajar, kerja menguruskan acara berjalan dengan mudah kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Urusan Koprojaya di sini semalam.

Hadir sama, Bendahari Koprojaya, Megat Shah Hamerul Megat Mohd Yusof dan Pegawai Komunikasi Korporat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Mohd Aliff Redzuan Azman.

Mengulas lanjut, Mohd Arif berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2013, pelbagai pembaharuan dan program berimpak tinggi berjaya dilaksanakan oleh Koprojaya termasuk kejayaan terbesarnya iaitu penganjuran 9to5 Run dan MED Coopreneur Carnival pada November tahun lalu yang dihadiri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Kata beliau, program itu juga dianjurkan Koprojaya sempena meraikan pertabalan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong menaiki takhta kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan ini juga pastinya tidak diperoleh sekiranya tiada sokongan anggota dan rakan strategik Koprojaya serta dokongan pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta SKM.

“SKM memberikan bantuan dengan membuka jalan untuk kita menganjurkan acara besar ini dengan penglibatan seramai 8,000 peserta larian dan 150 penyertaan usahawan koperasi yang membuka gerai jualan,” katanya.

Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada Yang di-Pertuan Agong menjadi pembakar semangat kepada semua usahawan koperasi kerana Seri Paduka Baginda menyuarakan pendapat bahawa sektor koperasi mempunyai potensi sangat tinggi disebabkan kepelbagaian cabang perniagaan yang diceburi.

Tambahnya, penganjuran acara larian itu adalah program siri kedua selepas kejayaan penganjuran program 9to5 Run siri pertama pada tahun 2015 di Putrajaya yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai program larian terbesar dengan penglibatan kira-kira 16,000 peserta.

Acara berskala besar yang turut dianjurkan ialah program pembangunan Jelajah Pendidikan Bumiputera pada 2016 dan Seminar Transformasi Rakyat (Star Camp) pada tahun 2017.

Mohd Arif berkata, menerusi Jelajah Pendidikan Bumiputera, Koprojaya membawa institusi pendidikan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kolej swasta masuk ke serata pelusuk Semenanjung Malaysia bagi memastikan pelajar mendapat peluang sama rata untuk melanjutkan pengajian.

Star Camp pula katanya, dijalankan untuk menyantuni golongan B40 dalam aspek ekonomi dan dianjurkan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Program ini bersifat serampang dua mata kerana selain kita tahu apa masalah yang golongan itu alami, anggota-anggota kita yang bertindak sebagai sukarelawan berpeluang turun ke akar umbi kerana ada antara mereka yang cuma kerja di pejabat dan tidak dapat merasai pengalaman itu.

“Maklumat yang diperoleh itu kita tukar ke dalam bentuk dokumentasi kajian dan diserahkan kepada kerajaan dan sekarang ada antaranya telah dijadikan dasar,” katanya.

Selain memberi fokus kepada perkhidmatan pengurusan acara, Mohd Arif menjelaskan, pihaknya juga terlibat dengan pelbagai jenis perniagaan lain termasuk projek pajakan tanah menerusi pembukaan sebuah stesen minyak Shell di Presint 18, Putrajaya yang beroperasi pada awal tahun 2018.

“Kita juga dalam proses untuk pembukaan stesen minyak kedua untuk tahun depan dan meneliti potensi syarikat stesen minyak mana yang mahu kita jalinkan kerjasama sama ada Shell atau BHP.

“Kita juga dalam perancangan untuk membangunkan projek rumah mampu milik di Putrajaya di bawah progran residensi wilayah. Setakat ini kita sudah mengenal pasti tanah kosong dan kita sudah sediakan kertas kerja,” katanya.

Tambah beliau, Koprojaya turut menjalankan perniagaan pengiklanan menerusi papan iklan gergasi (billboard) elektronik dengan kerjasama syarikat Sky Blue Media sejak tahun 2015.

Sementara itu, ditanya tentang peranan SKM sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyelia dan membangunkan gerakan koperasi di negara ini, Mohd Arif berkata, SKM ketika ini dilihat lebih responsif kepada kehendak dan keperluan koperasi.

Katanya, selepas 12 tahun dijenamakan sebagai sebuah suruhanjaya daripada Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK), SKM kini menuju proses kematangan sebagai sebuah badan berstatus Suruhanjaya.

“SKM kini boleh berperanan sebagai entiti fasilitator yang kuat untuk koperasi,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar SKM mengasingkan koperasi mengikut kluster berdasarkan hala tuju setiap koperasi.

“Koprojaya ditubuhkan bukan kerana wang. Kita sebuah koperasi yang bukan perlukan duit banyak sebab anggota-anggota kita berjawatan tetap.

“Jadi mungkin SKM boleh meneliti semula mana-mana koperasi yang betul-betul mahu membangunkan ekonomi, yang buat pembangunan profesional dan lain-lain agar kayu pengukur kejayaan sebuah koperasi bukan hanya pada pendapatan yang diraih,” katanya.

Jelasnya, usaha itu dapat menghapuskan stigma dalam kalangan masyarakat ketika ini kerana apabila menyentuh mengenai koperasi, ramai yang akan terfikir tentang kadar dividen yang diberikan dan kemudahan pinjaman kewangan disediakan.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pembentangan Belanjawan 2021 pula, Mohd Arif menegaskan, sebagai penjawat awam, pihaknya menyedari kekangan yang dihadapi kerajaan.

Bagaimanapun, untuk terus memperkasakan sektor koperasi, beliau mengharapkan agar koperasi turut diberikan peluang oleh kerajaan untuk terlibat dalam projek mega sebagaimana diwujudkan kuota untuk kontraktor bumiputera.

“Koperasi perlu dilihat sebagai satu entiti sama macam entiti perniagaan lain seperti syarikat-syarikat dan sebagainya.

“Contohnya dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) atau Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) melibatkan juga koperasi.

“Kalau untuk projek ini ada kuota untuk syarikat bumiputera, berikan kuota juga untuk koperasi seperti dari segi pembekalan atau memberikan ruang kepada koperasi menjadi operator untuk premis makanan di stesen-stesen sistem pengangkutan itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!