KUALA LUMPUR - Polis menggesa jika ada wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol seorang penceramah bebas yang juga bekas peserta program realiti keagamaan untuk tampil membuat laporan bagi tindakan lanjut. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk mengesan mereka yang membuat posting di laman media sosial seperti Instagram atau medium lain untuk diambil keterangan susulan tular dakwaan terdapat individu yang dikatakan menjadi mangsa. "Kita meminta mangsa atau saksi yang membuat pendedahan tampil buat laporan polis untuk membantu siasatan. ARTIKEL BERKAITAN: Penceramah bebas direman 5 hari siasatan kes rogol "Perdebatan dan komen-komen di media sosial semata-mata tanpa tindakan lanjut untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis tidak banyak membantu siasatan. Kepada mereka yang mendakwa menjadi mangsa, sila tampil membuat laporan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini. Menurutnya, buat masa ini hanya terdapat satu laporan polis diterima dan siasatan masih di peringkat awal. Semalam, penceramah bebas berusia 25 tahun itu direman selama lima hari sehingga Selasa depan untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penahanan penceramah bebas itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat mangsa berusia lingkungan 20-an, Rabu lalu. Berdasarkan keterangan mangsa, pada 11 September tahun lalu, dia telah keluar dengan suspek yang baharu dikenali di laman sosial Instagram menaiki kereta suspek jenis BMW untuk berbincang mengenai masalah kemurungannya. Suspek didakwa membawa mangsa makan di kedai makan di Shah Alam sebelum dibawa ke rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam dengan alasan untuk memberikan penerangan berkenaan penyakit tersebut. Bagaimanapun, semasa di rumah itu, mangsa dikatakan telah dirogol. Sebelum ini, tular apabila seorang pemilik akaun Twitter mendakwa pendakwah terbabit merogol seorang gadis. Pemilik akaun berkenaan mendakwa rakannya mengalami trauma akibat menjadi mangsa rogol.