Rina jamin 30 peratus kuota calon PRU15 untuk wanita

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd Harun memberi jaminan beliau akan memastikan 30 peratus kuota diberikan kepada calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau juga akan memastikan calon wanita itu nanti diberi kawasan strategik untuk menang dan bukan diletakkan di kawasan 'asal muat'.

"Dengan ini saya menyeru seluruh Srikandi untuk terus memperkasakan diri bagi menjadi seorang bakal wakil rakyat nanti.

"Kita akan adakan kursus Kepimpinan Srikandi untuk melatih pelapis-pelapis negara. Saya juga mahukan calon yang menang, bukan sekadar menjadi calon sahaja," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Srikandi sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kali Ke-3 yang berlangsung secara maya di sini hari ini.

Rina berkata, beliau juga yakin rakan-rakan sayap wanita sekutu mereka seperti Muslimat Pas sama-sama mahukan kuota 30 peratus calon wanita itu ditunaikan.

"Cuba kira berapa ramai Srikandi yang merupakan wakil rakyat di dalam parti kita dan juga berapa ramai Srikandi bertaraf menteri serta timbalan menteri?

"Kerana itu kita perlu melatih diri kita menjadi seorang pemimpin yang terbaik bermula dengan kita mendekati rakyat dari segenap lapisan masyarakat," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Srikandi menggariskan enam perancangan gerak kerja menerusi Agenda Bertindak 2.0 (2020-2035) dalam memperkasakan lagi sayap parti itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, enam gerak kerja itu adalah pemerkasaan parti, jaringan masyarakat, Srikandi Muda, wanita progresif, gerakan prihatin dan suara Srikandi.

Katanya, menerusi pemerkasaan parti, Srikandi perlu menggembleng usaha menambah ahli 200 peratus di setiap peringkat bagi menghadapi PRU15.

"Srikandi perlu memperluaskan jaringan kemasyarakatan akar umbi seperti mengadakan usaha sama bersama badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta.

"Srikandi Muda pula adalah platform baharu dalam mengemudi anak muda ke puncak kejayaan selain melatih bakal pemimpin. Memandangkan usia layak mengundi adalah 18 tahun, kita perlu adakan program 'outreach' golongan mahasiswa, beliwanis dan remaja supaya mereka dapat menyertai Srikandi," katanya.

Katanya, Srikandi juga perlu aktif menganjurkan program bertemakan pendidikan, kesihatan, undang-undang, kebajikan, keagamaan, wanita, kesenian, kebudayaan, kekeluargaan dan kemasyarakatan bagi membudayakan ilmu serta menambah kemahiran ahli.

"Untuk menjadi wanita progresif, kita perlu meningkatkan penyertaan wanita dan Srikandi dalam penggubalan dasar kerajaan seperti melahirkan lebih ramai wakil rakyat wanita dan akhirnya Srikandi menjadi suara mewakili wanita dalam isu berorientasikan kepentingan rakyat, agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!