Kelantan negeri kedua terbesar hasilkan madu kelulut
KOTA BHARU - Kelantan kini menjadi negeri kedua penyumbang terbesar pengeluaran madu kelulut di negara ini selepas Sarawak melibatkan 24,730 kilogram tahun lalu dengan nilai lebih RM3.5 juta.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, industri kelulut juga sebagai salah satu daripada sumber kekayaan baharu negara yang mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Statistik daripada Jabatan Pertanian menunjukkan bahawa sehingga Oktober 2020, sebanyak 145,856 kilogram madu kelulut dapat dikeluarkan oleh pengusaha kelulut di seluruh Malaysia dengan nilai melebihi RM21 juta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa membuat lawatan ke Galeri Kelulut di Min House Camp di Kubang Kerian, di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) Kelantan, Murniwati Mohamad dan Pemilik Min House Camp, Wan Noriah Wan Ramli.
Mengulas lanjut, katanya, industri ternakan kelulut di Malaysia sememangnya sangat berpotensi dijadikan sebagai sumber pendapatan untuk meningkatkan taraf ekonomi pengusaha sama ada secara kecil-kecilan atau komersial.
Menurutnya, bagi meningkatkan lagi pengeluaran madu kelulut, beberapa strategi dikenal pasti antaranya bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan kepada pengusaha termasuk kursus dan bimbingan keusahawanan.
"Walaupun menghadapi beberapa cabaran di peringkat pasaran dunia antaranya masih banyak negara belum dapat mengiktiraf madu kelulut sebagai satu daripada jenis madu kerana rasanya yang masam dan berbeza dengan madu lebah namun kerajaan sentiasa berusaha untuk memartabatkan industri ini melalui kerjasama pelbagai agensi terutamanya Jabatan Pertanian," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesukaran untuk pengusaha memasarkan hasil pertanian dalam negara, Che Abdullah berkata, pengusaha pertanian terutamanya madu kelulut itu sendiri perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan yang berkaitan.
"Kita faham kadang-kadang mereka berdepan kekangan untuk memasarkan dan promosi juga kurang, oleh itu kami mahu mereka bekerjasama dengan pelbagai agensi yang ada supaya pengeluaran melebihi permintaan dapat dielakkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!