Awas penyeludup! ATM lakukan rondaan agresif
RANTAU PANJANG - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Kelapan Infantri Malaysia memperkukuhkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi rondaan agresif dalam usaha mengekang jenayah dan penyeludupan.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hassan berkata, rondaan itu melibatkan lokasi 'panas' yang sering menjadi tumpuan penyeludup.
"Dron turut digunakan untuk mengenal pasti ancaman dan mengesan pergerakan penyeludup sekali gus memudahkan operasi," katanya selepas meninjau penugasan anggota ATM di pangkalan haram balai polis dekat Lubok Stol di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand
Polis buru saki-baki penyeludup babit kes tembak
Rakyat Malaysia jadi dalang sindiket penyeludupan di sempadan
Menurutnya, ATM turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain di sempadan menerusi maklumat risikan bagi memastikan keselamatan negara berada pada tahap terbaik.
Katanya, ATM tidak akan berganjak malah akan terus berdiri teguh bagi memastikan kedaulatan negara terus kukuh daripada sebarang ancaman.
"Kita berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan dan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.
Zamsari berkata, pihaknya turut menempatkan bot tempur untuk membuat rondaan ketika musim tengkujuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!