Beberapa laluan di Kuantan dilimpahi air akibat hujan lebat

Tangkap layar video dikongsi netizen di Facebook menunjukkan keadaan jalan berhampiran Stadium Darul Makmur, Kuantan yang dilimpahi air akibat hujan lebat pagi tadi.
Tangkap layar video dikongsi netizen di Facebook menunjukkan keadaan jalan berhampiran Stadium Darul Makmur, Kuantan yang dilimpahi air akibat hujan lebat pagi tadi.
A
A
A

KUANTAN - Beberapa laluan di sekitar daerah ini dilimpahi air berikutan hujan lebat pagi tadi.

Antara kawasan terlibat sekitar Kampung Jawa, Stadium Darul Makmur, Bukit Setongkol dan Jalan Sungai Soi.

Tinjauan Sinar Harian bagaimanapun mendapati limpahan air di beberapa laluan kembali surut selepas hujan mulai reda.

Terdahulu, beberapa rakaman video kejadian limpahanan air dikongsi netizen melalui laman sosial Facebook.

Antara yang menarik perhatian ialah kejadian berhampiran Stadium Darul Makmur apabila terdapat kenderaan tersadai mengalami kerosakan akibat meredah air dan sebuah kereta termasuk ke dalam longkang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, limpahan berlaku disebabkan air longkang yang melimpah akibat hujan lebat.

Menurutnya, hasil pemantauan pihaknya mendapati, limpahan tersebut sudah kembali surut dan keadaan trafik di laluan berkenaan kembali seperti biasa.

"Pihak bomba ada menerima panggilan bagi mengalihkan kenderaan yang mengalami kerosakan pagi tadi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kamerul Bieza berkata, susulan hujan lebat pagi tadi, anggotanya segera keluar membuat pemantauan di kawasan-kawasan rendah yang berisiko dinaiki air termasuk di sekitar Kampung Jawa di sini.

"Memang ada kawasan dilimpahi air namun dalam situasi terkawal dan telah pun surut,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan berkala di kawasan berisiko bila berlaku hujan bagi memantau perkembangan semasa keadaan air di kawasan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!