Penduduk Kampong Bharu minta naik taraf sistem perparitan
KUALA LUMPUR - Penduduk Kampong Bharu berharap sistem perparitan di kawasan tersebut dinaik taraf bagi menyelesaikan isu kekerapan banjir kilat yang dihadapi mereka.
Penduduk, Mohd Esa Abd Hamid, 43, berkata, masalah banjir yang pernah dihadapi sekitar tahun 80-an lalu kini berulang kembali kebelakangan ini disebabkan projek pembinaan di sekitarnya.
Menurutnya, rumahnya terletak di Kampung Paya telah dinaiki air sebanyak dua kali tahun ini dengan anggaran kerugian mencecah ribuan ringgit.
"Lepas sejam hujan lebat, air akan naik ke paras lutut (0.3 meter) disebabkan saliran tersumbat jadi air longkang tak sampai ke sungai dan melimpah keluar ke rumah penduduk.
"Walaupun air naik hanya sekejap tapi kami ambil masa sehari untuk bersihkan rumah. Harap sistem saliran ini dinaik taraf, dengan itu kesan banjir kilat ini dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program sumbangan mangsa banjir oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) di Dewan Kampung Paya, Kampong Bharu di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mardziah Mohd, 77 berkata, rumah pusaka peninggalan orang tuanya di Jalan Raja Mahadi kerap dinaiki air menyebabkan dia yang tinggal bersendirian di situ perlu sentiasa dalam keadaan bersedia.
"Rumah ini terletak di kawasan rendah berbanding jalan utama dan kawasan perumahan berhampiran, jadi air akan bertakung di sini selepas hujan, tingginya pernah mencecah hampir 0.5 meter.
"Jadi apabila nampak cuaca mendung atau seperti nak hujan, saya akan kemas bahagian ruang tamu, melipat tikar dan alihkan barang yang ada untuk elak kerugian lebih besar," katanya.
Katanya, dia yang juga anak jati Kampong Bharu berharap isu tersebut dapat diselesaikan.
"Kalau nak tanya berapa kali banjir memang dah tak terkira, minggu ini sahaja selang sehari banjir lagi, walaupun air naik hanya sedikit tetap juga kena basuh satu rumah.
"Sampai kadangkala menangis sebab penat basuh rumah, pernah juga terjatuh dalam air ketika banjir kilat, harap isu ini dapat diselesaikan," katanya.
Terdahulu, YBR menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 kepada 250 keluarga yang terjejas banjir kilat di Kampong Bharu, Taman Maluri dan Keramat dalam kejadian 17 November lalu.
Penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi YBR, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin yang turut dihadiri oleh Pengurus Besar YBR, Mohd Fauzi Md Fadzil.
Nazir Hussin berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir dalam situasi lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini.
"Inisiatif sebegini merupakan medium terbaik bagi pihak YBR untuk tampil mendekati masyarakat serta mengeratkan ukhuwah di kalangan masyarakat setempat.
"Diharap sumbangan ini membantu mangsa. Sebelum ini, YBR turut memberikan bantuan kepada 450 keluarga di Hulu Langat yang terjejas akibat bencana alam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!