Berimbang tetapi cemerlang
PENDEKATAN wasatiyah berbanding ekstremisme merupakan manhaj terbaik melaksanakan Islam. Mungkin ramai yang masih kabur tentang apakah yang dimaksudkan sebagai pendekatan wasatiyah ini.
Asas atau dalil pendekatan wasatiyah ini sebenarnya boleh dikutip daripada al-Quran itu sendiri. Dalam surah al-Baqarah ayat 143 ALLAH berfirman yang bermaksud:
“Dan demikianlah pula Kami jadikan Kamu (wahai umat Islam) ummatan wasata (satu umat yang pilihan cemerlang dan adil) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan (syahadah) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan Kamu.... ”.
Ummatan wassata menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman bermakna umat yang pilihan lagi adil dan juga bermakna umat yang pertengahan iaitu pertengahan segala pembawaannya, tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam menganut kepercayaannya, demikian juga akhlak dan amalannya, segala-galanya berkeadaan di tengah-tengah.
Konsep wasatiyyah yang diperkenalkan menepati konsep Maqasid Syariah dengan penuh kebijaksanaan serta tidak merugikan umat Islam. Ia dirangka secara holistik dan lengkap dengan panduan yang jelas. Wasatiyyah dalam perkara-perkara agama perlu jelas, tegas dan dikupas secara bijaksana untuk memberi kefahaman dan keyakinan kepada masyarakat.
Dalam konteks ini, wasatiyyah bukan bermaksud sama rata semata-mata tetapi adalah pendekatan berteraskan kasih sayang, kesejahteraan dan perpaduan yang dikongsi bersama dengan penuh kecemerlangan.
Sebagai seorang peguam syarie, penulis memahami bahawa pensabitan sesuatu dakwaan boleh dilakukan melalui iqrar, syahadah, bayyinah, qarinah dan lain lain lagi. Pensabitan melalui iqrar atau pengakuan adalah mudah kerana orang yang didakwa itu sendiri yang mengaku dakwaan terhadapnya.
Jika tiada terdapat pengakuan, keterangan boleh diberikan melalui syahadah, bayyinah, qarinah dan lain lain-lain. Dalam kategori ini keterangan melalu syahadah adalah keterangan yang paling utama dan tuntas. Pemberi syahadah atau dipanggil shahid (untuk ramai dipanggil syuhada) perlu menjalani tapisan ketat bagi memastikan beliau memberi keterangan yang benar.
Bayangkan piawaian yang digarapkan oleh al-Quran untuk keterangan syahadah ini adalah amat tinggi. Dalam aplikasi ummat yang mengamalkan wasatiyah ini berdasarkan ayat al-Quran tersebut sudah pastinya wasatiyah itu bukan sekadar sederhana tetapi umat yang cemerlang yang melepasi piawaian tinggi ditetapkan.
Oleh yang demikian pendekatan wasatiyah merupakan pendekatan yang cemerlang menganjak paradigma umat kearah ketinggian dan kesucian agama Islam.
Masyarakat Islam sepatutnya bukan sekadar berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat tetapi seharusnya cemerlang dalam menghadapi segala cubaan di dunia dan menikmati kecemerlangan juga di akhirat.
Tunggak wasatiyyah adalah prinsip akidah iaitu keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH. Konsep wasatiyyah juga perlu membuktikan bahawa agama Islam berupaya menyusun dan mengatur masyarakat sehingga mewujudkan peradaban yang unggul.
Malaysia sudah diiktiraf sebagai negara Islam contoh dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam. Pendekatan wasatiyah ini akan terus memacu kejayaan negara dan melakar kecemerlangan sebagai sebuah negara Islam contoh.
Pendekatan yang bersepadu ke arah kecemerlangan ini perlu diaplikasi oleh masyarakat Islam dengan teras maqasid al syariah bagi meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!