Pirlo pertahan keputusan ketepikan Ronaldo
PENGENDALI Juventus, Andrea Pirlo mempertahankan keputusannya untuk merehatkan bintang utama pasukan itu, Cristiano Ronaldo ketika seri 1-1 menentang Benevento dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.
Menurutnya, dia tidak mahu mengambil risiko menurunkan Ronaldo selepas pemain itu mengalami kecederaan selepas mewakili pasukan kebangsaan pada aksi Liga Negara-Negara UEFA minggu lalu.
Bagaimanapun, keputusan yang dibuat Pirlo itu menimbulkan kemarahan penyokong dengan mengambil kira aksi Ronaldo ketika diturunkan pada Liga Juara-Juara menentang Ferencvaros,Rabu lalu biarpun disahkan mengalami kecederaan.
"Dia mengalami kecederaan ringan tetapi tetap mahu beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara tersebut. Selepas aksi antarabangsa, memang normal untuk pemain diberikan rehat.
"Kami perlu membiasakan diri beraksi Ronaldo. saya bukan sengaja mahu mengenepikannya dalam perlawanan ini walaupun dia diturunkan dalam perlawanan Liga Juara-Juara. Saya mengambil kira banyak perkara sebelum membuat keputusan," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Alvaro Morata membuka jaringan buat Juventus pada minit ke-21 namun Benevento menyamakan kedudukan pada penghujung separuh masa pertama melalui Gaetano Letizia.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Pirlo mengakui pasukannya kehilangan rentak terutama pada separuh masa kedua sehingga menyukarkan mencari gol penyamaan.
“Kami menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dan berpeluang menambah gol, tetapi kami tidak melakukannya. Malah, pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan.
"Ini bukan kali pertama pasukan dikecewakan dengan keputusan sebegini. Ia seharusnya menjadi pengajaran buat semua pemain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!