Pacu pertumbuhan ekonomi dunia

Mohamed Azmin (kanan) bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) selepas menandatangani perjanjian RCEP baru-baru ini.
Mohamed Azmin (kanan) bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) selepas menandatangani perjanjian RCEP baru-baru ini.
A
A
A

PERJANJIAN Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akhirnya ditandatangani pada 15 November lalu selepas melalui sebanyak 31 pusingan rundingan dalam tempoh lapan tahun lepas.

Pemeteraian RCEP yang merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia melambangkan pencapaian penting dalam integrasi dan pemerkasaan ekonomi 15 negara.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemeteraian perjanjian itu menjadi bukti kepada pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala, selain memartabatkan agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia.

“RCEP akan menggalakkan, memudahkan dan melindungi iklim pelaburan negara-negara yang mengambil bahagian di rantau ini.

“Ia termasuk pertukaran maklumat dan menggalakkan langkah-langkah ketelusan untuk memudahkan perniagaan dan pelaburan di kawasan RCEP,” katanya.

RCEP terdiri daripada 15 negara dengan gabungan penduduk seramai 2.2 bilion atau hampir 29.7 peratus daripada penduduk dunia dan mewakili AS$24.8 trilion atau 28.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, berdasarkan data daripada Bank Dunia pada tahun 2018.

RCEP menggabungkan dan menyelaras FTA ASEAN+1 sedia ada termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Australia dan New Zealand, menjadi perjanjian inklusif dan komprehensif.

Perjanjian itu antara lain meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara rantau, mengukuhkan rantaian nilai serantau serta memudahkan ketelusan, perkongsian maklumat dan menyelaraskan peraturan dan standard teknikal.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, rundingan RCEP diketuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku ketua perunding negara dan dibantu oleh perunding daripada kementerian lain.

Akses pasaran lebih luas

Ketua Pegawai Eksekutif Aura By Hiska Sdn Bhd, Mohd Hisham Kassim berkata, antara manfaat utama RCEP ialah memberi akses pasaran luas dan terbuka di antara negara anggota.

“Ia membolehkan usahawan mempelajari teknologi perdagangan dan perindustrian daripada negara maju.

“Dengan kemajuan, pengetahuan dan pengalaman teknologi dapat menjadikan kos perniagaan dan bahan mentah lebih murah serta efektif.

“Melalui persaingan sihat, negara anggota akan berusaha meningkatkan kualiti produk. Pengguna pula dapat menilai dan mempunyai kuasa memilih sesuatu produk serta mendapat harga lebih baik,” katanya.

Mohd Hisham
Mohd Hisham

Bagi sektor e-dagang pula katanya, pasaran terbuka akan dapat membantu khususnya bagi perniagaan di kawasan luar bandar untuk mempromosikan produk mereka.

“Peniaga yang terlibat dengan e-dagang perlulah sentiasa memastikan produk mereka mempunyai kualiti terbaik di samping mempelajari teknologi terkini untuk meningkatkan hasil dengan kos efektif.

“Pengetahuan terhadap produk pesaing dari negara anggota lain juga membantu meningkatkan kualiti produk,” katanya.

Bagi Mohd Hisham, RCEP akan mewujudkan persaingan sihat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan sahaja di Malaysia tetapi negara anggota.

“Perniagaan PKS sudah pasti menggunakan ilmu teknologi perdagangan dari segi perindustrian, pertanian atau perikanan bagi memaksimumkan hasil keluaran dengan kos yang efektif.

“Dengan adanya pengetahuan maklumat produk di pasaran sudah tentu membolehkan PKS merencanakan sasaran perniagaan dengan lebih tepat,” katanya.

Penggerak utama

Pengasas Ryverra, Sharil Omar turut menyifatkan RCEP yang dimeterai memberi manfaat kepada usahawan tempatan meluaskan pasaran.

“Usahawan boleh menembusi pasaran Indonesia dan lima negara besar lain seperti Jepun, Korea, China dan New Zealand.

“Berdasarkan pengalaman sendiri dalam memasarkan produk ke Indonesia, memang sukar untuk melepasinya berikutan birokrasi dan sebagainya,” katanya.

Sharil
Sharil

Beliau membayangkan perjanjian RCEP mampu mengukuhkan pasaran produknya ke Indonesia kerana sebelum ini republik itu mengawal kemasukan produk luar sama seperti Jepun.

RCEP juga diharap memberi manfaat melalui e-dagang dan impak lebih besar dari sudut penawaran serta persaingan harga sebelum ini.

Bagi Pengarah Urusan UK Ice Blendz, Ahmad Muzakkir Hamid, perjanjian itu memberi banyak manfaat kepada usahawan terutamanya PKS mikro meningkatkan jualan, produk dan pendapatan.

Beliau yang juga Pengerusi Hal Ehwal Usahawan Persatuan Alumni UiTM Malaysia berkata, RCEP memberi peluang kepada PKS menembusi pasaran yang lebih luas.

Ahmad Muzakkir
Ahmad Muzakkir

“Ia turut memberi sumbangan besar kepada syarikat tempatan terutama akses pasaran, rantaian bekalan baharu, aktiviti ekonomi dan rangkaian bekalan sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran global. “Pelaksanaan RCEP juga sebagai penggerak utama bagi memulihkan sektor ekonomi yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.

RCEPRCEP adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di rantau Asia-Pasifik.

Melibatkan 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, dan Vietnam dan lima negara lain − Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

Semua negara ini sudah mempunyai FTA bersama ASEAN.

Perjanjian ini berpotensi untuk mewujudkan sebuah blok perdagangan terbesar dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 29 peratus daripada jumlah KDNK global dan mewakili 47 peratus populasi dunia.

Ini akan meletakkan RCEP setanding dengan blok perdagangan sedia ada seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan berkemungkinan menjadi lebih signifikan berbanding Kesatuan Eropah (EU).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!