Bersatu tidak tumpang UMNO
KUANTAN - Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka keahlian kepada bukan Islam dan mempelawa UMNO untuk bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) bukan berniat menumpang UMNO yang dikatakan mempunyai pengaruh kuat.
Setiausaha Bersatu negeri Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, politik hari ini harus dilihat dari sudut semasa dan tidak terlalu terikat dengan politik.
"Gabungan politik hari ini sudah berbeza. Memang suatu ketika dahulu BN (Barisan Nasional) merupakan gabungan yang sangat kuat dan ada kerangka sendiri. Kerangka BN ialah UMNO sebagai parti dominan.
"Pakatan Harapan (PH) pula lain kerangkanya Tiada Parti dominan tapi hanya 22 bulan. Ada parti dominan pun tak bertahan (jadi kerajaan). Tiada pun tak tahan.
"Begitu juga PN. Ini eksperimen ketiga dan berilah peluang. Tak perlu fikir siapa tumpang siapa. Siapa dominan dan tidak dominan. Kalau kita terikat kerangka yang begitu rigid nanti kita susah nak bergerak," katanya pada pada sidang akhbar Majlis Sumbangan Kebajikan Bersama Komuniti Indera Mahkota di sini hari ini.
Beliau berkata, rakyat seharusnya tidak terus membuat kesimpulan kerana negara maju juga mempunyai pelbagai gabungan parti politik bahkan ada gabungan parti politik ditubuhkan selepas pilihan raya.
Julai lalu, UMNO membuat keputusan tidak menyertai PN sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dan komponen BN.
Pendirian itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!