Perhilitan lupus sisik tenggiling bernilai RM25.3 juta
KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melupuskan sisik tenggiling bernilai RM25.3 juta di Pusat Kualiti Alam, Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pelupusan itu melibatkan sisik tenggiling seberat 2,058 kilogram (kg) hasil rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak tahun 2017 hingga tahun lalu yang diserahkan kepada Perhilitan.
Menurutnya, pelupusan ini menggunakan kaedah pembakaran di dalam insinerator di pusat tersebut.
"Tenggiling merupakan hidupan liar yang disenaraikan sebagai spesies yang tidak boleh di perdagangkan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).
"Pelupusan sisik tenggiling ini merupakan satu kejayaan besar untuk negara yang menunjukkan tahap keseriusan dalam membendung penyeludupan hidupan liar," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, tindakan ini juga merupakan salah satu obligasi negara di bawah CITES.
Katanya, pihaknya mengingatkan mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.
"Perhilitan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti kastam dan polis dalam usaha negara melindungi spesies terancam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!