Putra mungkin bertanding di PRK Gerik
IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membayangkan untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik.
Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, PRK berkenaan dilihat sebagai peluang untuk Putra mencuba nasib.
Namun beliau berkata, keputusan muktamad mengenainya masih belum dibincangkan secara terperinci.
"Walaupun kerusi Parlimen Gerik bukan kerusi sasaran kita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun kita melihat ini satu peluang untuk Putra melihat sejauh mana sokongan pengundi kepada parti ini.
"Sudah tentu kita akan pilih calon tempatan dan Gerik sendiri bertanding di situ," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Bencana Banjir Putra dengan kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Charity for Humanity di Dewan Komuniti Kampung Cempaka Sari di sini hari ini.
Hamidah berkata, kepimpinan Putra akan melihat secara menyeluruh dari sudut pro dan kontra mengenai pertandingan itu sebelum memuktamadkannya.
Dua hari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, dijalankan serentak pada 16 Januari 2021.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari, manakala pengundian awal pada 12 Januari.
Kedua-dua PRK berkenaan perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi kerusi itu selepas kematian kedua-dua penyandangnya.
Semalam, UMNO mengumumkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gerik pada PRK berkenaan dengan memberi keutamaan calon anak tempatan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sudah pasti pihaknya akan memilih calon terbaik dalam kalangan calon-calon yang disenaraikan nanti.
ARTIKEL BERKAITAN: PRK Gerik: UMNO pilih calon tempatan, harap tiada parti lain bertanding/p>
PRK Gerik, Bugaya serentak pada 16 Januari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!