Bunuh diri: Tun M minta rakyat bersabar hadapi cabaran Covid-19
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat negara ini supaya bersabar dan tidak berputus asa dalam menghadapi kesan buruk ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, berita kejadian bunuh diri atau cubaan membunuh diri didapati berlaku hampir setiap hari.
“Saya mendapat tahu seramai 266 rakyat kita telah membunuh diri dan kejadian ini masih berterusan. Jumlah yang saya nyatakan itu berlaku antara bulan Mac sehingga Oktober,” katanya menerusi satu rakaman video yang disiarkan di Twitternya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian membunuh diri dalam kalangan masyarakat di negara ini yang dilihat masih berterusan sepanjang tempoh penularan wabak berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya seluruh rakyat negara ini untuk bersabar dan kekal bersemangat dalam menghadapi cabaran ketika ini.
“Memang dalam menghadapi cabaran yang sebegitu besar dan berat ini, ada yang merasa hilang harapan dan semangat kerana beban yang digalas itu begitu perit dan pedih.
“Saya menyeru agar kita semua dapat bersabar dan tabah mengharungi cabaran ini. Memang benar betapa berat mata memandang lebih berat bahu memikul.
“Saya percaya kita akan dapat atasi cabaran ini kerana Tuhan tidak menduga kita jika kita tidak berupaya menghadapinya,” katanya.
Katanya, masyarakat perlu yakin bahawa masih ada kebaikan yang dapat diperoleh di sebalik kesukaran yang mereka sedang hadapi ketika ini.
Dalam pada itu, pakar kesihatan mendapati pandemik Covid-19 telah memberi kesan negatif kepada psikologi orang ramai di seluruh dunia dengan menyebabkan gejala kegelisahan, stres dan kemurungan akibat proses kuarantin yang panjang dan tekanan ekonomi yang berterusan.
Menurut laporan, orang ramai juga terdedah kepada gangguan emosi lain termasuklah perasaan mudah naik marah, kerisauan untuk dijangkiti dan menjangkiti virus tersebut, kesepian dan juga kecenderungan untuk membunuh diri.
Terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sebanyak 465 kes cubaan bunuh diri yang dirujuk kepada kementerian tersebut bagi tempoh dari Januari hingga Jun pada tahun ini berbanding sebanyak 675 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Susulan daripada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan bahawa KKM telah mewujudkan Talian Sokongan Psikososial dengan kerjasama Mercy Malaysia bagi membantu menangani isu berkenaan.
Menurutnya, terdapat juga agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang turut mewujudkan talian bantuan masing-masing.
Katanya, secara keseluruhan sejak 25 Mac hingga hujung Ogos lalu, sebanyak 11,791 panggilan telah diterima oleh talian-talian berkenaan dan setiap pemanggil mempunyai purata tiga isu dengan 50 peratus isu yang dirujuk memerlukan sokongan emosi serta kaunseling seperti stres, risau dan putus harapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!