'Jawatan TPM hak UMNO'
PASIR SALAK - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu berlapang dada dengan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jawatan tersebut sewajarnya menjadi milik UMNO yang merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.
“Jawatan TPM hak UMNO. Kita (UMNO) sudah pun beralah kerana tidak mahu dilabelkan sebagai tamak kuasa.
“Saya sokong sebaik selesai belanjawan, PM (Muhyiddin) perlu lantik pemimpin kanan UMNO menjadi TPM.
"Sudah sampai masanya dan tidak boleh tunggu lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dan Covid-19 Parlimen Pasir Salak di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Menurutnya, isu pelantikan jawatan itu memberi pelbagai persepsi terhadap kedua-dua parti iaitu UMNO dan Bersatu.
“Isu ini akan memberi gambaran tidak elok kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu. Jangan ingat tidak lantik. Bersatu lebih berkuasa sebaliknya orang akan memandang Bersatu sebagai tidak berlaku adil.
“Jangan ambil mudah, rakyat perlu yakin dengan kita. Kalau UMNO seperti melukut di tepi gantang, kita akan dipandang serong oleh rakyat dan UMNO terlepas peluang meneruskan perjuangan parti dalam membela rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata, pelantikan TPM perlu mengikut hierarki jawatan dalam parti itu.
“Mestilah pemimpin ikut hierarki dan selalu diberi kepada ketua parti dan tentulah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya rasa pelantikan beliau (Ahmad Zahid) tiada masalah kerana kes mahkamah yang dihadapi belum diputuskan (jatuh hukum) lagi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan TPM: UMNO tak beri tekanan kepada Muhyiddin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!