Perhimpunan Agung Tahunan kukuh peranan, penglibatan Bersatu dalam PN

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ketiga yang diadakan semalam telah menentukan hala tuju parti untuk mengukuhkan peranan dan penglibatan dalam Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata perhimpunan itu juga membuktikan kesediaan kepimpinan parti untuk memperkasakan kerjasama politik antara parti-parti sekutu PN seperti Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Bersatu mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan bersejarah semalam. Parti yakin bahawa dasar-dasar yang telah dipersetujui dalam PAT ke-3 bakal meniupkan roh perjuangan yang segar dalam kalangan ahli-ahli untuk terus istiqamah dalam agenda membela agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bersatu semalam mengadakan PAT ke-3 yang dilangsungkan secara maya dari lokasi yang ditetapkan mengikut negeri-negeri dan dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan negara berhadapan ancaman pandemik koronavirus (Covid-19).

Hamzah berkata, PAT itu disertai 502 perwakilan dari semua peringkat, dan penganjuran perhimpunan tetap diteruskan bagi memenuhi tuntutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan perlembagaan Bersatu.

Beliau berkata, bagi PAT ke-3, sebanyak 171 bahagian serta 2,579 cawangan telah bersidang dan mengikut rekod, jumlah keahlian semasa parti ialah 508,725 orang berbanding 222,980 ahli ketika PAT ke-2.

Hamzah berkata, selain meluluskan usul-usul yang menyentuh aspek ekonomi, pendidikan dan sosial, perwakilan telah sebulat suara meluluskan cadangan pindaan perlembagaan yang dibentangkan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

“Ini termasuklah pindaan perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sayap baharu ahli bersekutu.

Artikel Berkaitan:

“Pindaan perlembagaan tersebut bakal mengukuhkan lagi struktur organisasi dan kekuatan akar umbi Bersatu di semua peringkat, selain membuktikan keterbukaan dan keterangkuman parti meliputi aspek keahlian mahupun dasar parti,” tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!