Pindah ikan ternakan ke kolam khas elak kerugian

Para pekerja kelihatan sedang memindahkan kerapu hibrid untuk dipindahkan ke dalam kolam tangki. Foto Bernama
Para pekerja kelihatan sedang memindahkan kerapu hibrid untuk dipindahkan ke dalam kolam tangki. Foto Bernama
A
A
A

PERMAISURI - Seramai 30 penternak ikan kerapu hibrid di Laguna Setiu, Kampung Gong Batu di sini memindahkan lebih 100,000 ekor ikan ke dalam kolam tangki khas bagi mengelakkan mereka berputih mata pada musim tengkujuh.

Johari Awang Besar
Johari Awang Besar

Wakil pengusaha, Johari Awang Besar berkata, langkah itu terpaksa dilakukan susulan tahap kemasinan air di muara sungai turun mendadak hingga bacaan air berubah hampir menjadi tawar sepenuhnya akibat limpahan air hujan dari Sungai Setiu.

“Jika tidak dilakukan sebarang tindakan dengan segera, sudah pasti pengusaha berdepan kerugian sehingga hampir RM500,000 sepertimana yang dialami beberapa pengusaha pada musim tengkujuh tahun lepas,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Johari, kerja memindahkan ikan bermula sejak Khamis lepas dan berterusan sehingga ke hari ini memandangkan bacaan air masin masih menurun.

Tinjauan mendapati kesemua ikan berkenaan dipindahkan ke kolam tangki berbumbung dan kolam terbuka di beberapa lokasi sekitar Kampung Gong Batu dan Kampung Fikri dan ditempatkan di situ selama dua minggu sebelum dibawa semula ke sangkar apabila bacaan air kembali seperti sediakala.

Hanya ikan kerapu hibrid dipindahkan ke situ manakala ikan siakap masih di dalam sangkar kerana ia mempunyai ketahanan terhadap air tawar.

"Ikan yang dipindahkan terdiri daripada pelbagai saiz dengan berat antara 300 gram hingga melebihi sekilogram seekor. Rata-rata pengusaha terpaksa mengupah pekerja untuk lakukan pemindahan dan menanggung kos yang banyak termasuk sewa lori,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pekerja, Rezuan Wahid, 42, (kiri) menunjukkan antara ikan kerapu hibrid yang diangkut menggunakan bot dari sangkar untuk dipindahkan ke kolam tangki. Foto Bernama
Pekerja, Rezuan Wahid, 42, (kiri) menunjukkan antara ikan kerapu hibrid yang diangkut menggunakan bot dari sangkar untuk dipindahkan ke kolam tangki. Foto Bernama

Sementara itu, inisiatif berbeza pula dilaksanakan pengusaha di Kampung Keluang, Besut apabila bertindak menjual lebih awal ikan ternakan mereka bagi mengelakkan kerugian.

Penternak dan pemborong ikan, Ismail Ab Rahman berkata, kira-kira 200,000 anak ikan siakap berukuran 1.27 hingga 6.35 sentimeter (cm) telah dibeli daripada tujuh pengusaha di situ.

“Sepatutnya benih tersebut berukuran 10cm ke atas baru boleh dijual tetapi bagi mengelak pengusaha menanggung kerugian jika kolam ditenggelami air hujan, mereka bertindak menjualnya lebih awal.

“Di sini (Kampung Keluang) adalah pusat asuhan benih siakap yang diternak sebaik telur menetas dan dijual sehingga mencapai ukuran tertentu,” katanya.

Menurut Ismail, benih ikan dibelinya itu akan dipindahkan ke kolam tangki berbumbung yang disewa khas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!