Tujuh lelaki miliki waran tangkap, satu positif dadah ditahan
MELAKA - Dua remaja antara tujuh lelaki yang ditahan memiliki waran tangkap dalam Ops Tahun Baharu Cina, di beberapa lokasi sekitar Klebang, semalam.
Operasi membabitkan Cawangan Trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Cawangan Trafik Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Jasin serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu menyaksikan 189 kesalahan dikesan hasil pemeriksaan ke atas 335 individu.
Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi bermula jam 11 malam hingga 3.10 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, tujuh lelaki termasuk dua remaja yang ditahan berusia 19 hingga 25 tahun.
"Empat daripadanya memiliki tiga waran tangkap, seorang memiliki dua waran tangkap manakala dua lagi memiliki satu waran tangkap," katanya.
Afzanizar berkata, operasi fokus di beberapa lokasi terutama sekitar laluan Dataran Klebang, Jalan Pesisir Pantai Klebang dan Jalan KU 2, Klebang.
"Polis melakukan pemeriksaan ke atas 332 motosikal dan 3 kereta selain mengeluarkan 181 saman.
"Kita turut menyita 32 kenderaan membabitkan pelbagai kesalahan," katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen kenderaan, tidak mempamerkan cukai jalan, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut peraturan serta ubah suai kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!