Usung bapa strok ke pusat pemindahan
KEMAMAN - Menjadi rutin seorang juruteknik mengusung bapanya yang menghidap strok sejak 15 tahun lalu ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sivik Felda Seberang Tayor di sini setiap kali musim banjir.
Azman Bakar, 27, berkata, bapanya terpaksa diusung kerana bahagian badannya tidak boleh digerakkan selepas terjatuh di ladang getah ketika sedang bekerja.
"Saban tahun sudah menjadi kelaziman saya angkat dan usung bapa ke PPS setiap kali rumah dinaiki air.
"Ada ketika saya terlewat tak sempat sampai ke rumah untuk bantu angkat dia, saya akan pastikan ada orang kampung atau pasukan penyelamat yang turut sama bantu bawa ke PPS," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Azman yang tinggal di Kampung Tok Kapor Binjai di sini namun bertugas di Kuantan, Pahang berkata, dia akan pulang ke rumah keluarganya di Felda Seberang Tayor memandangkan adik beradik yang lain tinggal berjauhan dan telah berkeluarga.
Tambahan pula, katanya, hanya ibunya, Siti Aishah Abdullah, 57, dan bapanya sahaja yang tinggal di kediaman itu.
"Setiap kali musim banjir saya akan pulang ke sini untuk pastikan keselamatan ibu dan bapa saya. Adik beradik lain ada tapi mereka tinggal jauh dan saya duduk paling hampir dengan kediaman ayah.
"Lagipun apabila kediaman dinaiki air, barang-barang perlu diangkat ke tempat lebih selamat. Selepas air surut perlu bersihkan rumah dan barang-barang yang rosak kerana tidak sempat diselamatkan dan ditenggelami air," katanya.
Beliau berkata, walaupun dibenarkan pulang, dia masih berjaga-jaga bimbang rumah keluarganya dinaiki air semula.
"Hari ini, walaupun kami telah dibenarkan pulang ke rumah daripada PPS dan air telah surut, saya masih berjaga-jaga bimbang banjir lagi," katanya.
Sementara itu, Othman berkata, walaupun hanya berkerusi roda dan tidak mampu bergerak sendiri beliau selesa berada di PPS.
"Keadaan di PPS sangat selesa, ada disediakan jadual untuk waktu makan dan boleh rehat di sini.
"Kalau nak mandi saya akan bawa sekali kerusi roda kerana tidak mampu berdiri. Mujurlah ada isteri dan anak yang jaga saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!