Burung hantu kesiangan
KESEJAHTERAAN dan kesihatan semua pihak yang bekerja atau belajar secara atas talian berbantukan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan perkara pokok yang perlu diberi perhatian ketika kita dalam tempoh pandemik Covid-19.
Keseronokan menelusuri hari-hari mendatang sama ada ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mahupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersama teknologi komunikasi menyebabkan sesetengah pihak alpa tentang impaknya terhadap kesihatan.
Sedar atau tidak, tempoh bekerja atau bermesyuarat yang sepatutnya mengambil masa singkat jika bersemuka telah menyebabkan ia mengambil masa yang lebih panjang setelah kita mengambil kira gangguan liputan rangkaian, masalah alat komunikasi, penjelasan fakta yang lebih banyak akibat tidak berbantukan komunikasi bukan lisan dan seumpamanya.
Tanpa memikirkan suasana persekitaran kerja, keluarga, kos langganan internet, liputan rangkaian dan seumpamanya, komunikasi atas talian menjadi semakin bermaharajalela.
Mesyuarat yang sepatutnya dihabiskan dalam tempoh satu hingga dua jam kini menjangkau sehingga empat atau lima jam. Ada ketikanya bilangan mesyuarat menjadi semakin bertambah dan berterusan dek kerana tiada keperluan pergerakan atau urusan logistik.
Harus diingat bahawa bukan semua berkemampuan menyediakan kemudahan dan persekitaran selesa. Ia pasti menyukarkan terutama bagi ibu bapa yang bekerja dari rumah dan pada masa yang sama mempunyai anak ramai yang memerlukan gajet dan data internet bagi mengikuti pembelajaran atas talian.
Kekalutan ibu bapa menyusun jadual penggiliran penggunaan dengan anak-anak semakin menyesakkan nafas apabila kedapatan guru yang tiba-tiba terlebih rajin memberi tugasan yang banyak berbanding secara bersemuka.
Semua kekalutan itu bakal mencetuskan stres dan kemurungan. Akhirnya, keseronokan bekerja secara atas talian hilang akibat stres.
Keletihan Adakala pekerja tiada daya melakukan apa-apa kerana ada majikan yang gagal memahami kekangan seperti di atas. Mereka mula memilih melakukan apa yang patut sahaja seperti melepaskan batuk di tangga.
Amat beruntung bagi pekerja dan pelajar yang mampu menyediakan persekitaran selesa walaupun bekerja atau belajar dari rumah.
Persoalannya, ramaikah pekerja atau individu yang berkemampuan dan majikan yang prihatin dalam tempoh penguncupan ekonomi akibat Covid-19?
Penulis suka mengingatkan bahawa tempoh masa bekerja yang panjang menggunakan teknologi komunikasi akan menyebabkan keletihan melampau yang mencetus rasa mengantuk berpanjangan, tidak bertenaga dan motivasi amat lemah. Ia adalah keadaan fisiologi disebabkan aktiviti terlalu banyak dan kerap dilalui seseorang individu.
Masalah keletihan perlu diambil berat kerana ia menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada individu, menjejaskan prestasi dan akhirnya menurunkan produktiviti.
Kajian menunjukkan bahawa keletihan terjadi apabila tubuh badan tidak berupaya membekalkan tenaga diperlukan oleh tubuh dan ia mengganggu kesejahteraan fizikal serta mental individu yang mengalaminya. Jika keletihan menjadi kronik, ia secara langsung mempengaruhi kualiti kehidupan individu.
Memperuntukkan masa yang panjang menggunakan kemudahan ICT perlu seiring dengan peningkatan kualiti kesejahteraan kehidupan. Keletihan yang diumpamakan burung hantu kesiangan boleh menyebabkan individu berbakat kehabisan daya dan prestasi serta produktiviti yang diharapkan tidak kesampaian.
* Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Organisasi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!