Uruskan wang pengeluaran KWSP dengan berhemah
MERAK Jalanan berasa lega apabila Belanjawan 2021 akhirnya diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu walaupun pelbagai spekulasi sebelum itu mengatakan ia akan tidak lulus.
Paling Merak Jalanan gembira ialah kebenaran mengeluarkan RM10,000 daripada akaun satu KWSP kerana ia adalah satu keputusan yang amat melegakan dalam keadaan ramai yang terkesan dengan Covid-19.
Dengan wang RM10,000 itu dapatlah digunakan untuk menampung segala lompong yang ada sementara menunggu ekonomi kembali pulih seperti biasa.
Bagi yang telah kehilangan pekerjaan, wang tersebut boleh dijadikan modal untuk berniaga kecil-kecilan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi mereka yang terlibat dengan pemotongan gaji, maka wang tersebut dapat digunakan untuk menyelesaikan hutang bagi mengurangkan komitmen bulanan.
Sudah pasti semua orang sudah mempunyai perancangan agar wang tersebut betul-betul digunakan ke jalan yang tepat seiring matlamat kerajaan untuk membantu pencarum KWSP.
Merak Jalanan nak nasihatkan kepada mereka yang bakal mengeluarkan wang tersebut supaya jangan fikir nak untung cepat dengan terpedaya melabur dalam skim saham atau skim ponzi yang akan menyebabkan wang berkenaan lebur.
Jaminan pulangan pelaburan yang tinggi pasti ada muslihat tersembunyi dan Jangan kita tergolongan menjadi mangsa-mangsa berikutnya.
Kepada mereka yang ada cita-cita untuk menggunakan wang tersebut bagi memenuhi kehendak dan bukan keperluan, maka pertimbangkan semula hasrat tersebut.
Ini adalah kerana wang tersebut perlu digunakan ke arah perkara yang betul-betul bermanfaat kerana ia adalah pinjaman wang masa depan kita.
Uruskan wang tersebut dengan berhemah supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!