Operasi di dua pelabuhan punca pegawai kastam diugut bunuh

Abdul Latif Abdul Kadir
Abdul Latif Abdul Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ugutan bunuh ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Sarawak Khamis lalu dipercayai berpunca daripada tindakan pegawai berkenaan yang mengetuai operasi di Pelabuhan Rajang dan Pelabuhan Bintulu sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, operasi di dua pelabuhan pada 21 Oktober dan 13 November lalu itu berjaya membawa kepada rampasan barang seludup yang bernilai kira-kira RM2.64 juta dengan anggaran jumlah cukai dan duti terlibat dianggarkan RM655,301.

"Kita akan terus jalankan amanah menjaga keselamatan dan hasil negara melalui penguatkuasaan ketat dan tidak berkompromi dengan ancaman daripada mana-mana anasir yang ingin mengganggu gugat kedaulatan serta keselamatan negara.

"Jabatan Kastam turut memandang serius sebarang bentuk ugutan atau ancaman ke atas pegawai-pegawainya," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Abdul Latif seterusnya merakamkan penghargaan kepada pihak polis yang berjaya menahan tiga individu disyaki terlibat menghantar nota ugutan itu bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, polis Sarawak mengumumkan penahanan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan terhadap seorang pegawai kanan kastam yang menerima dua butir peluru hidup berserta nota yang bertulis “got two bullets, one long one short, which one you want” di kediamannya di Jalan Matang, Kuching. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!